Sangat mendukacitakan apabila baki sumbangan dana kempen dan parti telah dirampas oleh pihak polis baru-baru ini, kata Unit Komunikasi S...

Mahathir juga serah kembali RM 1.2 billion kepada parti semasa letak jawatan



Sangat mendukacitakan apabila baki sumbangan dana kempen dan parti telah dirampas oleh pihak polis baru-baru ini, kata Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO.

Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO berkata, wang berkenaan dirampas ketika ia dalam proses dipindahkan kepada kepimpinan baru parti terbabit, setelah peletakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Barisan Nasional.

“Secara umumnya, Presiden UMNO bertanggungjawab mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk parti, termasuk dana bagi pilihan raya umum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Dana sumbangan kepada parti politik ini diterima oleh semua parti-parti politik d negara ini.

"Hal ini tidak ada bezanya dengan UMNO di mana mantan Presiden kita iaitu Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mendapatkan sumbangan dana untuk kempen sebelum pilihanraya umum ke 14 dan juga dana untuk menguruskan parti," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ketika bekas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Presiden, beliau juga mengembalikan RM1.2 billion kepada parti dan tiga juta ahli.

Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO itu juga menegaskan bahawa pembiayaan politik adalah dibenarkan di bawah undang-undang negara.

UMNO juga berharap pihak polis akan menyerahkan dana berkenaan kepada parti berkenaan selepas proses siasatan oleh pihak berkuasa yang terlibat.

“Oleh itu, UMNO berusaha untuk memulihkan dana ini dan memohon kepada pihak polis untuk melepaskan dana tersebut dan mengembalikannya kepada parti setelah selesai proses siasatan oleh pihak berkuasa yang terbabit.

“UMNO kini sedang dalam proses membina semula parti dan pulangan dana parti ini akan membantu parti untuk mengukuhkan proses pembinaan semula parti yang sedang dijalankan hari ini,” kata unit itu.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat laporan polis berkenaan keselamatan diri dan keluarga beliau.

Dalam laporan berkenaan, bekas Presiden UMNO itu turut mendakwa wang tunai yang dirampas dalam beberapa serbuan termasuk di kediaman peribadinya di ibu negara adalah wang sumbangan bagi kegunaan kempen pilihan raya. - Utaranews.com