Berkuat kuasa 1 Jun ini, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus akan dikenakan GST pada kadar sifar peratus. Lan...

Mampukah KPDNKK pastikan barangan turun harga selepas 1 Jun ini?


Berkuat kuasa 1 Jun ini, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus akan dikenakan GST pada kadar sifar peratus. Langkah pengenaan GST pada kadar sifar ini akan dipakai di seluruh negara.

Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan memberi jaminan perlaksanaan GST pada kadar sifar itu akan menurunkan harga barang.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Firdus Zakaria memaklumkan sehingga setakat ini sebagai persediaan awal pihaknya telah melakukan pemeriksaan di 50 premis perniagaan yang berdaftar di bawah GST di negeri ini untuk membuat dokumentasi harga.

Katanya, maklumat harga yang diperolehi itu akan digunakan semula untuk dipantau pada 1 Jun ini untuk memastikan sama ada peniaga menurunkan harga sebanyak enam peratus atau sebaliknya.

“Proses peralihan ini mungkin mengambil masa kerana peniaga terpaksa membuat harga baharu selain membabitkan barangan stok lama.

“Amaran akan dikeluarkan kepada peniaga yang tidak menurunkan harga dan kami akan mengambil tindakan sekiranya barangan stok baharu dijual pada harga lama.

“Pengguna yang membeli barangan dikenakan GST tetapi kekal dijual pada harga lama boleh membuat aduan dan kami akan buat siasatan dan pastikan peniaga membayar balik kepada mereka,” katanya.

Selain itu, Firdus berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan harga barangan dalam tempoh peralihan ini kerana jika didapati bersalah peniaga boleh dikenakan tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. - utaranews.com