Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak patut balik kampung menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sepatutnya penggunaa...

Mat Sabu tak patut balik kampung guna pesawat TUDM


Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak patut balik kampung menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sepatutnya penggunaan aset itu berdasarkan kepada keperluan yang penting untuk tugas sahaja, kata seorang peguam, Datuk Abu Backer Sidek.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu, semalam.

Abu Backer berkata, beliau bertindak membuat laporan tersebut atas alasan salah guna kuasa terhadap aset kerajaan.

“Saya mohon agar SPRM buat siasatan agar perkara ini tidak berulang.

"Saya tidak cemburu kepada dia, tapi biarlah penggunaan aset itu berdasarkan kepada keperluan yang penting untuk tugas,” katanya.

Beliau berkata, hal itu dilihat tidak patut memandangkan negara sekarang berdepan dengan hutang yang mencecah RM1.087 trilion.

“Dia boleh naik aset kerajaan sebagai menteri. Tapi nak tuntut elaun pakailah Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo.

"Tapi kalau pakai pesawat TUDM ia akan melibatkan perbelanjaan tidak kurang RM50,000.

“Dalam keadaan negara yang berdepan hutang yang begitu besar, nak belanja sebesar itu saya rasa satu tindakan yang amat tidak wajar,” katanya.

Sabtu lalu, Mohamad Sabu terbang ke Butterworth dengan pesawat TUDM Airbus A400M daripada 22 skuadron untuk menghadiri satu program.

Beliau ditemani isterinya, Normah Alwi dan ketibaannya disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang.

Selepas majlis berkenaan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata beliau teruja apabila dapat balik ke kampung halamannya dengan menaiki pesawat tentera.

“Saya sendiri tinggal tidak jauh daripada pangkalan ini. Daripada kecil saya dengar bunyi laluan kapal terbang dan timbul perasaan bangga," katanya.

Mengulas lanjut, Abu Backer berkata, majlis berbuka puasa yang dianjur oleh Kementerian Pertahanan itu sekadar wayang untuk membolehkan Menteri Pertahanan itu untuk balik ke kampung halamannya di Butterworth.

“Dia mengaku nak balik kampung, jadi dia ditawarkan oleh Panglima Angkatan Tentera. Sekarang ini berlaku aktiviti membodek supaya kekal jawatan sebab beliau sudah nak pencen.

“Saya ada maklumat daripada tentera sendiri yang tidak puas hati dengan aset kerajaan. Bila Panglima Angkatan Tentera nak pergi mana-mana nak pergi, dia boleh buat panggilan telefon sahaja,” katanya. - Utaranews.com