Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, gaji yang ditawarkan terlalu rendah adalah merupakan antara sebab mengapa rakyat di negar...

Menteri PH dakwa rakyat Malaysia tak mahu kerja dengan gaji rendah


Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, gaji yang ditawarkan terlalu rendah adalah merupakan antara sebab mengapa rakyat di negara ini memilih pekerjaan.

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, masalah isu gaji dalam kalangan rakyat Malaysia perlu ditangani.

"Pekerja tempatan tidak mahu menerima sesuatu pekerjaaan sekiranya gaji sangat rendah.

"Anda tidak boleh minta rakyat Malaysia membandingkan gaji untuk mereka dengan yang diberi kepada warga asing yang bekerja di sini," kata M. Kulasegaran.

Menteri Sumber Manusia itu berkata demikian selepas melawat Kuil Buddha Mekprasit sempena Sambutan Hari Wesak di Ipoh.

M. Kulasegaran mengulas mengenai langkah kementeriannya untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja tempatan dalam beberapa sektor pekerjaan di negara ini yang menyebabkan pergantungan terhadap pekerja asing.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia itu dilaporkan berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji kembali perjanjian pekerja asing dengan semua negara yang terbabit dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Kata beliau, rakyat tempatan harus diberi keutamaan bagi mendapat pekerjaan.

M. Kulasegaran mengulas mengenai perjanjian Malaysia-Bangladesh pada tahun 2016 yang bertujuan untuk menerima 1.5 juta pekerja dari negara itu.

Sementara itu, beliau berkata kementerian juga akan mengkaji kembali peranan "orang tengah" yang membawa pekerja asing ke negara ini kerana ia juga melibatkan kos yang tinggi kepada negara. - Utaranews.com