Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah satu langkah yang dilakukan untuk membolehkan kekayaan negara dapat diagihkan secara seimban...

MTEM mahu kerajaan kaji semula agenda ekonomi bumiputera


Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah satu langkah yang dilakukan untuk membolehkan kekayaan negara dapat diagihkan secara seimbang kepada semua kaum.

Ia juga untuk merapatkan jurang pendapatan yang berbeza mengikut kaum di negara ini agar kekal seimbang.

Sehubungan itu, Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera (MTEM) berharap kerajaan dapat mengkaji semula kaedah yang dilakukan sebelum ini agar agenda ekonomi bumiputera di negara ini kekal seimbang dan tidak hanya memberi keuntungan pada golongan tertentu sahaja.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, walaupun pelbagai usaha yang telah dilakukan kerajaan terdahulu, tetapi status ekonomi bumiputera sekarang masih tidak berada di tahap baik antara kaum.

“Pendapatan perkapita bagi bumiputera yang masih rendah berbanding kaum lain, peratusan pengangguran yang meningkat, pemohon kerja yang berdepan diskriminasi majikan swasta serta gejala ‘Ali Baba’ yang berleluasa merupakan isu yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.

“Oleh itu, MTEM berharap agar Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan benar-benar komited dalam usaha untuk menyeimbangkan ekonomi negara melalui pengurangan jurang kekayaan dan pendapatan di antara kaum. Ini juga selari dengan manifesto Pakatan Harapan menerusi Teras 3 iaitu untuk merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama,” katanya.

Ahmad Yazid berharap kerajaan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat melaksanakan agenda ekonomi bumiputera yang lebih berkesan untuk memberi keseimbangan ekonomi antara kaum seterusnya menjadikan masa depan negara lebih sejahtera.

“Kami berharap perkara tersebut akan terus dilaksanakan dengan lebih telus dan berkesan. Ini penting untuk memastikan keseimbangan ekonomi antara kaum dan menjamin masa depan negara yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.-utaranews