Sewajarnya kajian mendalam dibuat terlebih dahulu kerana keputusan yang dilakukan secara terburu-buru akan memberi impak kepada semua pih...

Pakar ekonomi bimbang kesan buruk kepada negara bila hapus GST


Sewajarnya kajian mendalam dibuat terlebih dahulu kerana keputusan yang dilakukan secara terburu-buru akan memberi impak kepada semua pihak, kata pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Kerajaan Pakatan Harapan ingin menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Pakar ekonomi itu berkata, beliau bimbang kesan buruk kepada negara bila hapuskan cukai berkenaan.

Beliau berkata, GST sudah terbukti memberi impak positif kepada pendapatan negara, maka ia turut dilaksanakan di sebahagian besar oleh negara-negara luar.

"Dengan peningkatan pendapatan, lebih banyak golongan berpendapatan rendah dan miskin dapat dibantu serta dapat meningkatkan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat," katanya

Tetapi malangnya, beliau berkata, GST menjadi mangsa politik sehingga ramai pihak tidak nampak kelebihan dan kebaikan pelaksanaan cukai berkenaan.

"Jika sistem cukai itu tidak bagus, sudah tentu ia tidak dilaksanakan di negara-negara lain,” ujar Ramon yang bimbang langkah kerajaan baharu menetapkan sifar GST akan memberi kesan buruk kepada pendapatan negara.

Jika itu terjadi, bukan mustahil kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan operasi dan pembangunan negara khususnya melibatkan projek-projek yang menjadi keperluan rakyat.

Sekiranya pun tidak melaksanakan langkah-langkah berkenaan, pakar ekonomi itu bimbang kerajaan akan berhutang lagi atau menaikkan cukai-cukai tertentu yang dibimbangi akan membebankan rakyat.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa Majlis Penasihat kerajaan agar menjelaskan kepada rakyat secara terperinci langkah-langkah yang sedang dilakukan supaya tidak menimbulkan rasa panik.

“Apabila GST sifar peratus, subsidi minyak diteruskan dan menghapuskan tol, saya tertanya-tanya dari manakah sumber pendapatan negara akan diperoleh?

"Rakyat mungkin gembira tetapi apakah kesannya kepada negara.

“Apatah lagi jumlah populasi negara bertambah, bagaimana kemudahan-kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan kesihatan,” katanya. -Utaranews.com