UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod dan kemampuan melaksanakan semua janji yang dibuat, selain sentiasa membuktikan parti i...

Pakatan menang PRU14 dengan kempen fitnah dan janji manis


UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod dan kemampuan melaksanakan semua janji yang dibuat, selain sentiasa membuktikan parti itu mencari kejayaan, bukan menunggu kejayaan. 

Ini dapat dilihat pembangunan pesat dan kemakmuran negara yang dinikmati hari ini serta kejayaan mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa adalah sinonim dengan perjuangan UMNO dan BN menerusi kejayaan dasar transformasi nasional parti berkenaan yang membuahkan hasil dan tidak boleh dinafikan.

Tetapi malangnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apa yang dijalankan itu dan kebaikan yang dilakukan tidak diberikan penghargaan sewajarnya.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak ralat jika kalah kerana pihak satu lagi mempunyai agenda lebih baik namun mereka menang dengan menggunakan kempen fitnah dan janji manis.

"Kempen yang bersifat terlalu menyerang peribadi, menabur fitnah dan kebencian serta janji-janji manis yang sebahagian besarnya tidak akan dapat dilaksanakan, malangnya menyebabkan kekalahan kepada UMNO dan BN.

"Pada saya, menang kalah itu adat pertandingan. Saya tidak ralat kalau kalah kerana pihak satu lagi ada agenda lebih baik daripada kita. 

"Tetapi terasa dalam hati saya bukan soal agenda, dasar yang diadili tetapi kempen memburukkan pemimpin dan janji manis yang tidak mungkin dapat dilaksanakan," katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan mesyuarat tahunan cawangan-cawangan dan pergerakan sayap-sayap UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan. -Utaranews.com