Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) yang berasa mahu kelu...

Parti komponen BN dinasihatkan keluar parti dari terus jadi liabiliti


Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) yang berasa mahu keluar gabungan itu perlu bertindak segera.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, lebih baik mereka tinggalkan BN secepat mungkin agar parti itu tidak ada musuh dalam selimut.

Katanya, UMNO yang menjadi tulang belakang BN kini masih kukuh di peringkat akar umbi.

“UMNO masih kukuh di akar umbi yang menjadi tulang belakang BN. Kita boleh lihat parti lain tidak menyumbang apa-apa, jadi apa ‘point’ mereka kekal dengan kita?

“Lagi baik mereka tinggalkan BN seawal mungkin supaya kita tidak ada musuh dalam selimut,” kata beliau.

Bung Moktar berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan perpecahan bakal berlaku dalam BN susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu.

Tambah Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, tidak ada paksaan dalam hal itu.

“Kita tidak minta sesiapa keluar, tapi siapa yang mahu bersama kita akan teruskan, siapa yang mempunyai hasrat nak keluar, dipersilakan.

Baru-baru ini, Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas mengumumkan parti itu secara rasmi mengakhiri hubungan dengan BN dan bakal bergerak sendiri.

Parti MIC dan MCA juga turut mengumumkan akan mengkaji semula kedudukan mereka dalam BN susulan tewas teruk apabila semua tempat ditandingi Presiden mereka kalah dalam PRU-14. -Utaranews.com