Parti PAS mahu kerajaan Pakatan Harapan agar lebih mengutamakan harapan rakyat berbanding pakatan parti dalam kerajaan yang ada pelbagai ...

PAS mahu kerajaan PH lebih utamakan harapan rakyat berbanding politik


Parti PAS mahu kerajaan Pakatan Harapan agar lebih mengutamakan harapan rakyat berbanding pakatan parti dalam kerajaan yang ada pelbagai ideologi dan tujuan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jangan sekali-kali rakyat menjadi mangsa politik selepas pillihan raya meskipun tidak menyokong kerajaan itu.

"Sepatutnya, selepas Pilihan Raya Umum kewajipan menyelamatkan negara lebih penting daripada segala-galanya. Rakyat yang menjadi rukun kepada semua negara hendaklah diutamakan.

“Perlembagaan Negara yang berkonsepkan Islam Agama Persekutuan, serta kebebasan berbagai agama mengikut sempadan undang-undang hendaklah dihormati kerana telah lama berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat.

“Hak bumiputera yang masih ketinggalan sejak zaman penjajah dahulu tanpa membiarkan kaum lain yang dalam kesusahan, hendaklah ditangani berkonsepkan adil untuk semua,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata ilmu, kebijaksanaan, benar dan salah bukan lagi menjadi keutamaan.

Sebaliknya, kata Abdul Hadi, kini media sosial tanpa sempadan menjadi senjata utama selepas politik wang, tipu dan ugutan, terutamanya dalam politik sekular yang terpisah daripada agama.

Dalam pada itu, Presiden PAS itu juga mengingatkan kerajaan bahawa “mengisi kemenangan” adalah lebih sukar berbanding memperoleh kemenangan itu sendiri.

“Kepada yang menang, percayalah bahawa kewajipan mengisi kemenangan lebih berat daripada kerja mendapatkan kemenangan.

"Berwaspadalah bahawa pengampu kepada yang menang lebih ramai daripada yang berani memberi nasihat,” kata Abdul Hadi. -Utaranews.com