FTSE Bursa Malaysia dilaporkan mengalami kerugian sebanyak 40.78 mata atau jatuh 2.21 peratus kepada 1804.25 mata. Selain itu, indeks jug...

Pasaran saham Bursa Malaysia jatuh melebihi dua peratus


FTSE Bursa Malaysia dilaporkan mengalami kerugian sebanyak 40.78 mata atau jatuh 2.21 peratus kepada 1804.25 mata. Selain itu, indeks juga direkodkan dibuka lemah 1.63 mata kepada 1,843.40.

Manakala, 2.69 bilion saham iaitu bernilai RM3.342 bilion telah bertukar tangan berbanding 2.358 bilion saham bernilai RM2.741 bilion ketika ditutup sebelum ini.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 763 berbanding 237. Pasaran didagangkan dalam jajaran 39.15 mata di antara 1843.40 dan 1804.25.

JF Apex Securities berkata prestasi Bursa Malaysia yang buruk ini berlaku kerana pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai Malaysia menanggung hutang hampir RM1 trilion.

“Prestasi buruk Bursa Malaysia itu didorong oleh sentimen tidak baik terhadap hutang negara yang tinggi seperti mana kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya.

Sebelum ini, semasa menyampaikan ucapan di perhimpunan pertama bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya mendedahkan kerajaan menghadapi masalah penyelesaian hutang yang meningkat kepada RM1 trilion.

Namun, hutang negara yang didakwa menceah RM1 trilion itu seakan becanggah dengan laporan ekonomi domestik yang dikemukakan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun mempersoal bahawa mengikut rekod, hutang negara yang diumumkan menerusi laporan BNM setakat Disember 2017 adalah RM686.8 bilion.

“Perdana Menteri mengumumkan hutang Malaysia ketika ini berada pada paras membimbangkan, iaitu RM1 trilion. Justeru tidak mustahil ada yang mempersoalkan kesahihannya kerana ia satu kadar yang terlalu besar.

“Jika disemak kembali, laporan BNM terbitan Mac 2018 menunjukkan ekonomi domestik Malaysia berada dalam keadaan baik. Ekonomi negara diunjurkan berkembang pada kadar utuh iaitu antara 5.5 peratus dan enam peratus untuk 2018.

“Oleh itu, persoalannya, dari mana Perdana Menteri tiba-tiba ‘petik’ angka hutang negara kini RM1 trilion?” katanya. - utaranews.com