Penghapusan tol Jambatan Pulau Pinang yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu hanya dilakuk...

Pemansuhan Tol Jambatan P.Pinang belum dimuktamadkan


Penghapusan tol Jambatan Pulau Pinang yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu hanya dilakukan setelah janji-janji dalam tempoh 100 hari ditunaikan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, untuk ketika ini tumpuan Kerajaan Pakatan Harapan adalah melaksanakan semua janji dalam tempoh 100 hari itu.

“Biarlah kita uruskan janji-janji dalam 100 hari dahulu. Lepas ni, kita akan tumpukan kepada perkara-perkara lain," katanya.

Beliau juga berkata, Kementerian Kewangan akan menyemak maklumat kewangan negara terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa pengumuman antaranya pemansuhan tol untuk Jambatan Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, ini kerana Kerajaan Pakatan Harapan perlu memberi pertimbangan sepatutnya terhadap penyata kewangan yang diumumkan sebelum ini sama ada tepat atau sebaliknya.

"Kita kena beri pertimbangan terhadap penyata kewangan yang diumumkan dahulu, sama ada tepat atau tidak.

“Apa yang penting, kita kena buat semakan yang lebih lanjut lagi sebab apa yang saya lihat, nampaknya bukan lah seperti yang diumumkan. Jadi kena hati-hati lah.

"Oleh itu, biar kita dapat maklumat kewangan sepenuhnya dulu, saya rasa itu lebih penting. Kita mahu sistem ‘open book’,” katanya.

Dalam manifesto PRU-14 lalu, Pakatan Harapan berjanji mahu menghapuskan tol Jambatan Pulau Pinang sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Pada masa ini, kadar sehala bagi tol Jambatan Pulau Pinang ditetapkan pada RM1.40 bagi penunggang motosikal dan RM7 bagi kereta. -Utaranews.com