Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) mengakui menyokong tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (...

Pembubaran SPAD disambut baik oleh Persatuan Teksi


Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) mengakui menyokong tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) membubarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Mengulas lanjut, Presidennya, Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, agensi kerajaan terbabit gagal menjalankan peranan dengan baik seperti menjaga hal ehwal pengangkutan awam negara terutamanya industri teksi.

Beliau berkata, pemandu teksi sudah berkali-kali membuat aduan mengenai kesukaran mereka untuk mencari sumber pendapatan kerana terpaksa bersaing dengan perkhidmatan e-hailing seperti Uber, Grab dan sebagainya.

Katanya, malah SPAD sebalinya lebih banyak mempromosikan perkhidmatan e-hailing daripada berusaha untuk membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi sedia ada.

“Kami setuju (pembubaran SPAD) kerana selama ini tidak banyak membantu industri teksi.

“SPAD merupakan agensi penguat kuasa tetapi tidak berfungi seperti diharapkan dalam menjaga hal ehwal kami dan keseluruhan industri pengangkutan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Syahrir turut berharap kerajaan dapat mengharamkan perkhidmatan e-hailing kerana banyak menutup periuk nasi pemandu teksi sekiranya tidak dapat menyediakan persekitaran persaingan yang adil antara perkhidmatan teksi dan e-hailing.

Sebelum ini, Syarikat pengendali teksi, Big Blue Taxi Service Sdn Bhd meminta kerajaan supaya menyekat Grab Malaysia daripada terus beroperasi.

Penasihatnya, Datuk Shamsubaharin Ismail, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu memberi sokongan mahupun bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-panggilan itu kerana pemandu teksi yang pernah berkhidmat dengannya pernah dianiaya. - utaranews.com