Untuk mengangkat semula UMNO sebagai wadah politik utama negara, akar umbi perlu memilih pemimpin yang bersifat adil, matang dan berinteg...

Pemilihan kepemimpinan baharu UMNO bakal menentukan masa depan parti


Untuk mengangkat semula UMNO sebagai wadah politik utama negara, akar umbi perlu memilih pemimpin yang bersifat adil, matang dan berintegriti, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pemimpin UMNO itu berkata, pemilihan kepemimpinan baharu UMNO di peringkat cawangan dan bahagian bakal menentukan masa depan parti keramat Melayu berkenaan.

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata, sekarang bukan masa untuk bercakaran atau memburukkan sesama sendiri, sebaliknya pemilihan tersebut memberi ruang memperbaiki parti dengan hikmah dan kewarasan.

"Terimalah hakikat dan keluar daripada kepompong kekalahan.

"UMNO tidak dibina berlandaskan wang ringgit, darjat dan kedudukan yang disandang. Jangan biarkan pemilihan ini meretakkan kesatuan UMNO," kata Hishammuddin yang menjalankan tugas Timbalan Presiden.

19 Jun hingga 10 Jun telah ditetapkan oleh Majlis Tertinggi UMNO sebagai tarikh persidangan tahunan cawangan dan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri, sementara peringkat bahagian bermula 30 Jun depan.

Persidangan dilaksanakan secara serentak dengan pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Pemilihan pimpinan parti peringkat nasional bakal menyaksikan semua jawatan tertinggi, termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, dipertandingkan seperti yang diputuskan Majlis Tertinggi UMNO, minggu lepas.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO juga mengingatkan semua ahli UMNO agar berjuang membela nasib bangsa Melayu serta rakyat.

"Ingat, UMNO berjuang untuk membela nasib bangsa Melayu dan rakyat. Ketepikan ego, sifat angkuh, kepentingan peribadi dan politik menikam belakang.

"Inilah peluang kita untuk sama-sama meletakkan kembali perjuangan UMNO ke landasan yang betul," ujar beliau. - Utaranews.com