Tradisi lama yang hanya memberi ketua bahagian menyandang jawatan pengerusi perhubungan negeri perlu dihapuskan, kata Ketua Pemuda UMNO...

Pemimpin berkredibiliti serta berimej bersih perlu untuk UMNO kekal relevan


Tradisi lama yang hanya memberi ketua bahagian menyandang jawatan pengerusi perhubungan negeri perlu dihapuskan, kata Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zakaria.

Beliau berkata, ini bagi memberi peluang kepada pemimpin lain termasuk dalam kalangan pemimpin sayap parti yang berkredibiliti serta berimej bersih untuk turut bertanding bagi jawatan itu.

Zainuri berkata, perkara ini perlu diubah sekiranya mahu melihat UMNO terus relevan. 

"Kenapa hanya ketua bahagian dibenarkan memegang jawatan pengerusi perhubungan UMNO negeri?

"Kalau ada timbalan, setiausaha bahagian atau pemimpin sayap parti yang dilihat ada kemampuan, bukan kesalahan untuk memberi laluan kepada mereka memimpin UMNO negeri.

"UMNO sering mengatakan untuk 'meremajakan' parti di semua peringkat, hakikatnya perkara ini tidak berlaku, malah suara sayap parti sering dipinggirkan," katanya.

Mengulas berkaitan desakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang ingin semua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan dalam pemilihan parti nanti, Zainuri berkata, semua pihak harus menerima dengan hati terbuka berhubung cadangan itu.

"Bukan hanya jawatan ahli majlis tertinggi sahaja perlu ada pertandingan, tetapi juga membabitkan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung UMNO.

"Biar ada pertandingan dan biar ahli memilih siapa yang mereka fikirkan layak untuk menerajui parti," ujar beliau.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam mencadangkan tiga jawatan tertinggi dalam UMNO, iaitu presiden, timbalan presiden dan satu daripada tiga jawatan naib presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti nanti.

Bagaimanapun, Khairy menolak cadangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan tidak boleh lagi didengari dalam UMNO, sekiranya parti itu mahu kekal relevan dan menarik semula keyakinan rakyat. -Utaranews.com