Setiap tahun menjelang bulan Ramadan pastinya kelibat pengemis asing semakin bertambah terutamanya di bazar Ramadan. Ada antara pengemis ...

Pengemis warga asing cemari kesibukan di Bazar Ramadan


Setiap tahun menjelang bulan Ramadan pastinya kelibat pengemis asing semakin bertambah terutamanya di bazar Ramadan. Ada antara pengemis tampil dengan kaki atau tangan kudung, warga emas, kanak-kanak dan ibu separuh umur sambil membawa bayi kecil.

Terbaharu, di Bayan Baru, Penang pasangan suami isteri warga Myanmar sanggup menjadi anak perempuan mereka berusia tujuh tahun untuk mendapatkan wang dengan cara mudah iaitu mengemis di bazar Ramadan.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Barat Daya, Mohd Azlan Kamis menjelaskan, pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an itu telah ditahan bersama anak perempuannya yang masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah.

Azlan berkata, pihaknya telah menjalankan operasi menyelamat pengemis di bazar Ramadan apabila mendapat banyak aduan dari peniaga mengenai kehadiran pengemis warga asing di kawasan Bazar Ramadan Bayan Baru.

"Operasi dijalankan bermula jam 4.30 petang yang melibatkan tujuh pegawai dan wakil peniaga. Operasi akan dijalankan setiap hari dan kita menyasarkan semua pasar Ramadan sepanjang bulan ini. Semalam, kita menyelamatkan sebuah keluarga warga Myanmar yang menjalankan aktiviti meminta sedekah di Pasar Ramadan Bayan Baru.

"Ketiga-tiga beranak itu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR). Bagi kes ini, kita berharap agar pihak kerajaan dapat berbuat sesuatu kerana kebanyakkan pengemis yang berada di lokasi awam adalah warga Myanmar.

"Mereka masuk ke negara ini dan menggunakan kad UNHCR sebagai alasan kerana pemegang kad ini tidak dibenarkan bekerja berdasarkan perjanjian yang dibuat oleh kerajaan," katanya.

Selain, pasangan warga Myanmar terbabit terdapat seorang lelaki warga Thailand berusia lingkungan 40-an turut ditahan semasa operasi menyelamat terbabit.

"Lelaki ini adalah pemegang pasport dari Thailand yang baru masuk ke Malaysia pada 19 Mei lalu menggunakan pas lawatan sosial. Dia disyaki datang ke negara ini untuk mendapatkan wang mudah melalui sindiket mengutip dana bagi membina madrasah di Thailand.

"Keempat-empat mereka akan duduk di laluan bazar dengan menggunakan tabung dan cawan plastik untuk meminta wang daripada orang awam. Amaran diberikan dan kesemua mereka dibebaskan kerana bukan warganegara Malaysia," katanya. - utaranews.com