Isu kenaikan harga daging di pasaran memang membebankan masyarakat Malaysia terutamanya pada musim perayaan. Sejak bermula bulan Ramadan,...

Pengguna merungut harga daging naik mendadak RM 36 sekilogram di Kedah


Isu kenaikan harga daging di pasaran memang membebankan masyarakat Malaysia terutamanya pada musim perayaan. Sejak bermula bulan Ramadan, isu harga daging naik mendadak di Kedah menjadi bualan hangat di kalangan pengguna.

Sebelum ini, harga daging sekitar RM32 sekilogram. Kini di Sungai Tiang dan Paya Mat Inson di Pendang iaitu RM35 hingga RM36 sekilogram.

Mengulas lanjut, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata hasil pemantauan pihaknya atas aduan kenaikan harga daging ini juga turut berlaku di Jalan Datuk Kumbar dan Jalan Hutan Kampung di daerah Kota Setar iaitu dari RM34 hingga RM35, termasuk juga di Kulim/Bandar Bharu dan Langkawi.

"Kita bertindak atas aduan diterima dan pemantauan bersama Gerakan Pemantau mendapati ada kawasan naik dan ada yang masih kekal pada RM30 hingga RM33 seperti di Pasar Besar Alor Setar. Dakwa peniaga mereka dapat lembu hidup dengan harga mahal," katanya.

Malah, katanya disebabkan bekalan lembu hidup berkurang harga lembu hidup juga telah naik mendadak sehingga RM5,000 seekor berbanding RM4,000 seekor.

"Saya mengesyorkan agar kerajaan dapat mencari mekanisma terbaik untuk meningkatkan populasi lembu di negeri ini dengan mewujudkan lebih ramai penternak dan padang ragut yang luas agar lembu-lembu ini dapat membiak serta meningkat seterusnya harganya dapat diturunkan," katanya.

Sementaa itu, seorang peniaga daging, Mohd Fadzly Mohd Rodzi, 33 berkata peniaga terpaksa menaikkan harga daging berikutan harga lembu hidup yang dibeli telah meningkat.

"Jika dulu kami beli lembu hidup RM3,000 seekor, tetapi sekarang naik hingga RM4,500 seekor dan untuk berniaga kami beli juga dan jual tinggi sedikit, pengguna ada mengeluh kata mahal, namun mereka beli juga dalam kuantiti sedikit," katanya.

Seorang pengguna, Mohd Zahir Ishak, 49, berharap isu kenaikan harga daging ini dapat diatasi dengan segera kerana setiap tahun isu kenaikan harga daging ini seperti tiada kawalan.

"Walaupun mahal, saya beli sedikt untuk berbuka bersama anak-anak di rumah, saya harap isu daging mahal ini dapat diatasi segera kerana ia naik pada setiap tahun seperti tiada kawalan oleh pihak terbabit," katanya. - utaranews.com