Biarpun baru hari pertama Ramadan, namun pengguna sudah merungut apabila terpaksa menghadapi kenaikan harga barang sehingga ada melebihi ...

Pengguna tak puas hati harga barangan di pasar semakin meningkat


Biarpun baru hari pertama Ramadan, namun pengguna sudah merungut apabila terpaksa menghadapi kenaikan harga barang sehingga ada melebihi 40 peratus berbanding harga sebelum ini.

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh wartawan Utusan di beberapa pasar termasuk Pasar Besar Sungai Besi, mendapati kenaikan harga melibatkan barang keperluan seperti ayam me­ningkat 23 peratus daripada RM7.30 sekilogram kepada RM9, telur RM8 kepada RM10 (30 biji) dan santan meningkat lebih 40 peratus daripada RM7 kepada RM10 sekilo.

Peniaga ayam, Mohd. Zamhur Mohd. Gous, 48, berkata, kenaikan harga itu terpaksa dilakukan kerana mereka menerima bekalan ayam daging daripada pembekal dengan harga tinggi sejak beberapa minggu lalu.

‘‘Setiap kali bulan puasa, permintaan terhadap ayam meningkat terutama melibatkan peniaga bazar Ramadan, ia antara punca pembekal menaikkan harga pada paras tinggi.

‘‘Ada dalam kalangan pengguna faham dengan situasi ini dan ada juga merungut, namun sebagai peniaga kami terpaksa menaikkan harga bagi mengelakkan kerugian disebabkan mendapat bekalan pada harga tinggi,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Peniaga santan, Rozita Maliki, 47 pula berkata, kenaikan harga bahan itu berlaku setiap kali menjelang musim perayaan disebabkan kualiti santan yang digunakan terdiri daripada kelapa tempatan.

‘‘Berbanding tahun-tahun sebelum ini, rasa dan kualiti santan jauh berbeza jika menggunakan kelapa tempatan dibandingkan diimport dari Thailand.

‘‘Bekalan untuk kelapa tempatan dan berkualiti semakin sukar diperoleh menjadikan pembekal dan peniaga terpaksa menjual dengan harga sedikit tinggi dan kami jangkakan harga ini terus kekal sehingga Aidilfitri nanti,’’ katanya.

Sementara itu, pengguna, Siti Rokiah Abdullah, 60, mengeluh dengan kenaikan harga barang yang terpaksa dihadapi terma­suklah telur gred A yang naik sehingga RM2 untuk 24 biji.

Katanya, sebagai pemandu teksi, kenaikan itu pastinya membebankan pada saat umat Islam berpuasa dan perlu membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri bulan depan.

‘‘Sebelum ini saya membeli 24 biji telur gred A hanya RM8, namun kini saya terkejut kerana ia naik kepada RM10. Dalam masa sebulan harga telur meningkat tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Sharudin Jusoh, 58, menyarankan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjalankan penguatkuasaan pemantauan harga barangan dengan lebih kerap. - Um