Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar akan bermula 1 Jun ini manakala pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmata...

Peniaga digesa turunkan harga barang dan perkhidmatan


Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar akan bermula 1 Jun ini manakala pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah ditangguhkan. Oleh itu, peniaga digesa untuk menurunkan harga barang dan perkhidmatan selepas perlaksanakan terbabit atau berdepan tindakan tegas.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata semua peniaga yang berdaftar dengan GST perlu mematuhi penetapan kadar sifar itu dan menurunkan harga barang yang lebih rendah kepada pengguna.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan perlaksanaan GST pada kadar sifar yang dilaksanakan kerajaan sebagai hasrat untuk menurunkan harga barang supaya memberi manfaat kepada pengguna.

“Kerajaan juga tidak melaksanakan SST bermula 1 Jun ini dan tarikh sebenar pelaksanaannya akan diumumkan kemudian.

“Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang tegas bagi memastikan har­ga ba­rang dan per­khid­matan yang di­te­tapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Jelas Subromaniam, penetapan GST pada kadar sifat itu akan dipakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak.

Menurutnya, peniaga boleh merujuk kepada soalan lazim berkaitan tempoh peralihan enam peratus kepada kadar sifar yang telah dimuat naik di www.customs.gov.my dan portal gst.customs.gov.my.

Selain itu, katanya perlaksaan GST pada kadar sifar dan menangguhan penggantian SST memang memberi keuntungan kepada semua pihak terutamanya golongan pengguna kerana memberi kesan kepada penurunan harga barang.

“Buat masa ini, langkah tersebut akan memanfaatkan pengguna dan harga barang akan turun,” katanya. - utaranews.com