Janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan membuat pembaharuan ekonomi disifatkan sebagai fantas...

Penyokong Pakatan hanya berfantasi untuk lihat manifesto mereka ditunaikan


Janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan membuat pembaharuan ekonomi disifatkan sebagai fantasi dan tidak munasabah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mustahil Pakatan Harapan boleh menunaikannya.

"Itu (janji Pakatan Harapan) adalah fantasi. Tak mungkin mereka boleh melaksanakannya," kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa merujuk pada manifesto '10 Janji 100 Hari' Pakatan Harapan  untuk melakukan penangguhan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), memansuhkan GST dan menurunkan harga minyak.

Dalam pada itu, bekas Presiden UMNO itu berkata beliau ragu dengan langkah mengurangkan GST kepada sifar, langkah sementara yang diumumkan oleh Pakatan Harapan dalam pemansuhan cukai tersebut.

Beliau berkata, ini bukan seperti yang Pakatan Harapan janjikan.

"GST sifar bukan apa yang mereka janjikan. GST sifar boleh juga bererti anda boleh tambah bila-bila masa," ujar beliau.

Sementara itu, Najib yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional turut menyifatkan laporan yang mendakwa pemerintahan beliau gagal sebagai percubaan Pakatan Harapan untuk menjejaskan imejnya.

"Sudah boleh dilihat bahawa tiga hari selepas pilihan raya, mereka kata ekonomi dalam keadaan kukuh.

"(Sedangkan) sebelum itu mereka kata ekonomi dalam keadaan teruk, kita sedang bankrap dan Malaysia perlu diselamatkan.

"Adakah mereka cuba katakan bahawa ekonomi pulih dengan secepat itu? Simpanan kewangan kukuh dan kita ada pertumbuhan yang baik?

"Tidak! Ini adalah kenyataan yang dibuat tiga hari selepas pilihan raya," ujar Najib sambil menambah bahawa ekonomi negara sememangnya berada dalam keadaan baik semasa di bawah kepimpinan BN. -Utaranews.com