Baru-baru ini, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) didakwa telah menghantar memorandum kepada Kerajaan Pakatan Harapan dan Majlis...

Polisi UiTM beri pendidikan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera


Baru-baru ini, Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) didakwa telah menghantar memorandum kepada Kerajaan Pakatan Harapan dan Majlis Penasihat Kerajaan mengenai memberi peluang kepada kaum India untuk diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagaimanapun, tindakan Hindraf itu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan terutamanya jika ia melibatkan Perlembagaan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz memaklumkan walaupun negara baharu fokus dalam mengutamakan keharmonian kaum tetapi tindakan terbabit tidak sepatutnya dituntut terutamanya ia melibatkan UiTM.

Beliau berkata, polisi penubuhan UiTM sudah jelas menunjukkan adalah untuk Bumiputera dan ia tidak boleh diubah sesuka hati kerana ia melibatkan garis panduan dan perundangan.

“Polisi UiTM ini memberi pendidikan kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera.

“Sebarang polisi yang dibuat di bawah perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) sekiranya mahu diubah ia hendaklah mendapat perkenan dan dibincang di bawah perkara 38.

“UiTM ini tidak seperti institusi pendidikan yang lain dan penubuhannya adalah mengikut Perlembangaan dan sudah dikhususkan kepada orang Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy menafikan pihaknya telah tidak membuat sebarang tuntutan atau menghantar memorandum kepada kerajaan PH sebaliknya ia dibuat oleh kumpulan lain yang memanggil dirinya sebagai Hindraf 2.0 diketuai peguam P Uthayakumar.

“Tidak wujud pertubuhan bernama Hindraf 2.0. Ketuanya ialah Presiden Parti Hak Asasi Manusia, P Uthayakumar. Dia tidak terlibat dengan aktiviti Hindraf sejak 2008 kerana mahu menubuhkan parti politik sendiri. Tindak-tanduknya kini menimbulkan kekeliruan, rasa marah dan benci dalam kalangan orang ramai.”

“Mengelirukan orang ramai dengan menggunakan nama Hindraf tidak membantu perjuangan mencari penyelesaian menyeluruh dan berkekalan bagi masalah masyarakat," ujarnya. - utaranews.com