Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengambil jalan belakang yang boleh menimbulkan krisis dalaman antara parti komponen dalam Pakatan Harapa...

PPBM mahu Rafizi berhenti kritik Tun Mahathir


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengambil jalan belakang yang boleh menimbulkan krisis dalaman antara parti komponen dalam Pakatan Harapan, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu, Datuk Razali.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rafizi yang menyatakan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan faktor kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Razali berkata, ini bukan waktu memperlekehkan sesiapa, sebaliknya menggunakan peluang untuk membina semula negara.

Kata beliau, jangan berlagak, sombong dan mendabik dada dengan memperlekeh sumbangan pihak lain yang turut sama menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Baru-baru ini, Rafizi mengeluarkan kenyataan Mahathir bukan faktor kemenangan Pakatan Harapan pada PRU-14, tetapi isu kenaikan kos sara hidup dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan sebab utama pakatan itu berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN).

Mantan Anggota Parlimen Pandan itu dilaporkan berkata, hal itu terbukti berdasarkan hasil kaji selidik pasca PRU-14 INVOKE yang mendapati pengundi lebih terkesan dengan dua perkara berkenaan berbanding taat setia kepada Pengerusi PPBM itu.

Mengulas lanjut, Razali berkata, Naib Presiden PKR itu perlu ingat bahawa kemenangan Pakatan Harapan sebahagian besarnya ekoran percaturan Mahathir merangka strategi, bukannya hasil kajian Invoke Malaysia (INVOKE).

"Alhamdulilah dengan formula yang dirungkai beliau (Mahathir) kita sudah berjaya dalam PRU-14.

"Saya fikir sebahagian besar kemenangan Pakatan Harapan tidak dapat dinafikan terletak pada strategi Dr Mahathir yang berjaya mendapatkan persetujuan semua parti sebelum PRU-14 dan ini merupakan sejarah pembangkang yang tidak pernah dikecapi sebelum ini.

“Kenyataan Rafizi sebelum ini yang mengatakan bahawa PAS tak dapat satu kerusi pun melalui kajian Invoke tapi akhirnya (PAS) dapat dua negeri dengan menang majoriti 2/3 dan hampir memerintah Kedah. Ini adalah satu tamparan,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik parti dalam pakatan itu.

"Kadang-kadang kita lihat kesannya (kenyataan Rafizi) itu pun tidak berapa sedap, hubungan dalam kalangan ahli-ahli politik parti gabungan Pakatan Harapan ini sangat akrab dan baik.

"Jadi kita mengelak daripada apa juga unsur-unsur yang boleh ganggu gugat persahabatan yang sedia terjalin antara empat parti dan Warisan di Sabah," katanya yang juga Timbalan Presiden PPBM.

Mukhriz juga berkata, kenyataan Rafizi itu adalah pendapat peribadi Naib Presiden PKR itu.

"Itu mungkin pandangan beliau, kami (PPBM) ada pandangan lain. Kita rasakan bahawa soal faktor kemenangan itu, benda itu sudah tidak timbul lagi sebenarnya yang penting keputusan sudah diketahui, kerajaan sudah ditubuhkan.

"Saya kira isu-isu seperti itu tidak perlu dibangkitkan," katanya. - Utaranews.com