Projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) mungkin akan diteruskan kerana mempunyai matlamat yang baik. Syarikat NFC ditubuhkan bagi membangunkan...

Projek NFC mungkin diteruskan kerana mempunyai matlamat yang baik


Projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) mungkin akan diteruskan kerana mempunyai matlamat yang baik. Syarikat NFC ditubuhkan bagi membangunkan dan mengembangkan industri daging lembu terancang, bersepadu dan mampan.

NFC merupakan sebahagian daripada pelan kerajaan bagi menjamin 40 peratus tahap mampu diri bekalan daging dalam program menjamin keselamatan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, kementerian itu akan menyemak kembali projek NFC dalam usaha untuk memastikan bekalan daging lembu tempatan mencukupi.

Kata beliau, walaupun matlamat projek berkenaan baik tetapi ia pernah terpalit dengan kontroversi sebelum ini.

“Saya tidak mahu mengulangi kesilapan lalu. Matlamat NFC baik.

"Kita akan nilai semula tanah projek NFC di Negeri Sembilan dan sebahagian tanah di Segamat Johor,” kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dalam satu kenyataan.

Tambah beliau yang juga ADUN Simpang Jeram, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersedia untuk berunding dengan kerajaan  Negeri Johor dan Negeri Sembilan bagi membincangkan mekanisme terhadap projek baharu tersebut.

NFC pernah terpalit kontroversi apabila Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail disiasat dan didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan nilai keseluruhan RM49.7 juta.

Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan Salleh daripada semua pertuduhan jenayah pada 25 November 2015. - Utaranews.com