Kebanyakan orang lebih suka memiliki aset sendiri seperti kenderaan, tanah dan juga rumah sendiri daripada menyewa. Pastinya keinginan un...

Rakyat Malaysia lebih suka miliki rumah sendiri dari menyewa


Kebanyakan orang lebih suka memiliki aset sendiri seperti kenderaan, tanah dan juga rumah sendiri daripada menyewa. Pastinya keinginan untuk memiliki rumah sendiri adalah agenda terpenting yang mahu dicapai oleh seseorang itu.

Dilaporkan melalui kajian sentimen pengguna terbaharu oleh PropertyGuru Malaysia, hampir 92 peratus rakyat Malaysia lebih suka memiliki rumah sendiri daripada menyewa jika mereka mampu untuk membeli rumah sendiri.

Pengurus Negara, Sheldon Fernandez menjelaskan 33 peratus dari respondan masih lagi menyewa manakala 67 peratus tinggal di 'rumah sendiri' yang ditakrifkan sebagai 'rumah sendiri' adalah seperti rumah keluarga, tinggal bersama adik beradik atau saudara mara dan kediaman bukan sewa lain.

"Walaupun kos sara hidup meningkat, kadar penolakan pinjaman yang tinggi dan harga yang tidak dimampui, ramai rakyat Malaysia, termasuk glongan muda masih menjadikan pemilikan rumah sebagai aspirasi utama gaya hidup.

"Keinginan (untuk memiliki rumah) adalah sangat tinggi dan ini mungkin disebabkan oleh tekanan daripada keluarga dan juga rakan-rakan, juga menjadi kelaziman serta pandangan tradisional bahawa memiliki rumah sendiri adalah asas kukuh untuk masa depan seseorang," katanya.

Kajian itu menunjukkan respondan yang masih menyewa mempunyai keinginan untuk membeli rumah sendiri dan majoriti 71 peratus berkata lokasi adalah perkara paling penting jika mahu membeli rumah sendiri iaitu berhampiran dengan tempat kerja.

Manakala, 55 peratus mengikut pertimbangan keluarga dan 52 peratus adalah mudah akses kepada pengangkutan awam.

Data turut mendedahkan mereka yang masih menyewa merasakan kadar yang paling sesuai untuk sewa rumah adalah pada kadar RM801-RM1,100 sebulan, diikuti sewa bulanan untuk bilik adalah antara RM501-RM800. -utaranews