Kata-kata nasihat tentang bahaya merokok seperti sudah muak didengar oleh perokok. Seperti 'mencurah air ke daun keladi', sebarang...

RM 2.9 juta setahun dihabiskan untuk rawat penyakit akibat merokok


Kata-kata nasihat tentang bahaya merokok seperti sudah muak didengar oleh perokok. Seperti 'mencurah air ke daun keladi', sebarang bentuk nasihat tidak akan diendahkan oleh mereka apatah lagi berasa takut.

Penagih rokok ini juga sebenarnya bukan tidak tahu tentang bahaya yang bakal diterima. Namun seperti tiada upaya untuk berhenti dari merokok sehinggalah mereka disahkan mendapat penyakit berbahaya.

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan pihaknya terpaksa memperuntukkan kira-kira RM2.9 juta setiap tahun untuk merawat penyakit utama berkaitan merokok seperti paru-paru, penyakit paru-paru kronik dan masalah jantung koronari di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Sirajuddin Hashim menjelaskan untuk setiap individu yang menghidap penyakit terbabit anggaran kos rawatan adalah RM 21, 000 hingga RM 42,000 mengikut jenis penyakit yang dihidapi.

Katanya, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu berkaitan rokok ini antaranya dengan menyediakan lebih 40 klinik kesihatan untuk merawat perokok bagi menghilangkan ketagihan secara percuma.

Sepanjang bulan Ramadan ini, seramai 95 peratus perokok beragama Islam mengakui lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan ini.

“Berpuasa 14 jam sehari secara tidak langsung membantu perokok untuk lebih mudah berhenti kerana sepanjang tempoh itu mereka berupaya menahan diri daripada merokok,” katanya.

Sementara itu, usaha KKM untuk mengurangkan jumlah perokok serta menggalakkan perokok untuk berhenti merokok adalah dengan manambah bilangan kawasan awam sebagai kawasan larangan merokok. - utaranews.com