Keputusan kerajaan baharu Pakatan Harapan membatalkan pelaksanaan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura disifatkan s...

Silap besar bila Kerajaan PH batalkan projek HSR


Keputusan kerajaan baharu Pakatan Harapan membatalkan pelaksanaan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura disifatkan sebagai satu kesilapan besar.

Ahli Unit Komunikasi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata dengan pembatalan projek berkenaan bakal memberikan impak yang lebih teruk berbanding hanya mengurangkan potensi pertumbuhan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau  berkata, ia juga akan mengecewakan lebih ramai pelabur asing yang sebelum ini melihat projek mega tersebut sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih besar.

Kata beliau, Kerajaan Pakatan Harapan tidak sepatutnya terburu-buru dalam melakukan keputusan penting seperti tentang HSR.

"Kerajaan tidak sepatutnya kelihatan pantas dalam membuat keputusan penting seperti ini.

“Jelas bahawa manfaat limpahan sangat besar sehingga ia akan menjadi peluang yang sia-sia jika kita tidak meneruskan projek sekarang,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang keputusan kerajaan membatalkan HSR atas alasan ia tidak bermanfaat, selain melibatkan kos RM110 bilion dan Malaysia tidak mendapat keuntungan daripadanya.

Kerajaan dijangka perlu membayar pampasan sekitar RM500 juta kepada Singapura sekiranya kekal keputusan untuk membatalkan projek mega berkenaan.

Tambah Abdul Rahman, HSR merupakan satu projek strategik antara Malaysia dan Singapura bertujuan membantu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat, menambah baik jaringan perniagaan dan menghubungkan rakyat kedua-dua negara lebih dekat.

“Melalui perjalanan yang lancar antara kedua-dua ibu negara ia dapat meningkatkan hubungan perniagaan, dan menghubungkan rakyat kedua negara lebih dekat bersama-sama.

“Dengan stesen terminal di Bandar Malaysia Kuala Lumpur dan Jurong Timur Singapura, hubungan HSR dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar itu hingga 90 minit,”  ujar beliau. - Utaranews.com