Tindakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat sebagai satu tindakan y...

Tak perlu "orang politik" didalam pentadbiran Tabung Haji


Tindakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat sebagai satu tindakan yang bijak di samping ia dapat mengembalikan keyakinan orang ramai dalam aspek pengurusan haji.

Sebelum ini, Abdul Azeez telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 2011 dan kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji pada 1 Julai 2013.

Felo Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent), Muthanna Saari memaklumkan sepatutnya dalam pentadbiran Tabung Haji tidak ada sebarang penglibatan orang politik.

Beliau berkata, Tabung Haji yang merupakan satu institusi pengurusan haji yang cemerlang tidak sepatutnya terpalit dengan kontroversi skandal 1MDB.

"Isu kuota haji dimiliki pihak berkepentingan tertentu perlulah diperbetulkan. Banyak beranggapan bahawa ada ahli parlimen dan menteri mempunyai kuota haji tertentu untuk diberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Sistem ini sememangnya satu sistem “patronage” yang sangat berkesan untuk mendapatkan sokongan politik.

"Kuota haji semasa bagi Malaysia adalah 30,200 orang namun tidak diketahui sama ada angka ini secara keseluruhannya diuruskan di dalam sistem penggiliran yang diuruskan oleh Tabung Haji ataupun tidak? Adakah jumlah kuota haji ini berjaya dipenuhi keseluruhannya setiap tahun?

"Atau memang terdapat kuota dipegang oleh ahli politik yang akhirnya tidak berjaya dipenuhi pada saat akhir sekali gus menafikan hak pendeposit Tabung Haji yang sedang menunggu giliran masing-masing untuk mengerjakan haji. Atau adakah terdapat kuota tambahan lagi selain daripada angka rasmi yang dinyatakan tersebut?," katanya.

Selain itu,  Muthanna berkata Tabung Haji mampu untuk kembali menjadi satu badan pengurusan jemaah haji yang terbaik sekali gus dipercayai orang ramai jika dapat diperkemaskan oleh pengurusan Tabung Haji. - utaranews.com