Baru-baru ini, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan telah membubarkan beberapa agensi kerajaan dan pegawai kontrak lantikan politik. Antara ...

Tamatkan khidmat guru al-Quran akan rencat kegiatan dakwah di Kelantan


Baru-baru ini, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan telah membubarkan beberapa agensi kerajaan dan pegawai kontrak lantikan politik. Antara agensi kerajaan yang terlibat pembubaran terbabit adalah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Dilaporkan kira-kira 3,000 kakitangan lantikan politik kerajaan terdahulu telah ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa 15 Mei lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berharap kerajaan dapat pertimbangkan semula menamatkan perkhimatan 3,075 kakitangan yang mana tugas mereka menyampaikan dakwah dan mengajar al-Quran di negeri ini.

Beliau berkata, sebahagian besar kakitangan terbabit menjalankan tugas terbabit selama 20 tahun dan telah menjadikan tugas itu sebagai sumber pendapatan mereka.

Katanya mereka juga telah memberi sumbangan besar melancarkan kegiatan dakwah untuk melengkapkan lagi pengajian al-Quran walaupun pelajar sudah mempelajarinya di sekolah.

"Kita rasa kegiatan dakwah di Kelantan akan terencat dengan tindakan menamatkan perkhidmatan penggerak masyarakat ini khususnya dalam aspek pengajian al-Quran.

"Kita panggil penggerak masyarakat tapi tugasnya mengajar al-Quran selama dua jam sehari bagi lima hari seminggu di kampung.

"Kalau dulunya orang kampung membayar dalam bentuk barangan seperti beras kepada mereka yang mengajar al-Quran, namun keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menghargai sumbangan mereka untuk memberi elaun sebanyak RM400 sebulan.

"Elaun ini diberikan bagi mengurangkan beban ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar membaca al-Quran, selain sebagai tanda kebajikan kepada penggerak masyarakat ini menyampaikan dakwah," katanya. - utaranews.com