Situasi sama hampir di setiap tahun, sepanjang bulan Ramadan akan begitu sesak dengan pengunjung terutamanya umat Islam yang mahu membeli...

Tips untuk elak membazir ketika ke Pasar ramadan


Situasi sama hampir di setiap tahun, sepanjang bulan Ramadan akan begitu sesak dengan pengunjung terutamanya umat Islam yang mahu membeli juadah untuk berbuka puasa.

Setelah seharian berpuasa ramai umat Islam mengambil kesempatan untuk membeli juadah yang terdapat di bazar Ramadan. Bagaimanapun, disebabkan nafsu makan membuak-buak ramai pengunjung suka membeli makanan yang banyak sehingga berlakunya pembaziran.

Isu pembaziran makanan antara isu kerap kali timbul setiap kali bulan Ramadan tiba. Malah, dilaporkan kira-kira 9,000 tan makanan dibuang dalam sehari di bulan Ramadan.

Sebagai umat Islam di bulan yang mulia ini sepatutnya mengambil langkah mengelakkan pembaziran. Terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan pembaziran di bulan Ramadan.

Pertama, beli lauk sahaja. Tidak dapat dinafikan sesetengah orang sibuk bekerja sehingga tidak sempat masak disebabkan itu terpaksa singgah ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka.

Tetapi, jika anda ingin berjimat adalah lebih baik sakadar beli lauk sahaja iaitu satu jenis lauk tanpa nasi. Balik ke rumah masak nasi di rumah dan boleh dimakan sehingga sahur nanti.

Kedua, jangan beli air. Setiap bazar ramadan memang tidak sah jika tidak menjual pelbagai jenis minuman yang menarik perhatian orang ramai. Pastinya melihat pelbagai jenis warna membuatkan seseorang itu mudah terpengaruh. Tetapi, jika ingin berjimat lebih baik bancuh air sendiri di rumah.

Ketiga, beli satu jenis kuih sehari. Setiap kali ramadan memang pelbagai jenis kuih muih yang akan dijual. Untuk berjimat cermat tetapi mahu merasa pelbagai jenis kuih muih yang terdapat di bazar, bolehlah membeli pelbagai jenis kuih yang diingini, tetapi membeli satu jenis kuih setiap hari bertukar-tukar.

Keempat, bawa duit sedikit sahaja. Hadkan duit yang dibawa ke bazar contohnya RM10 atau RM20. Apabila di bazar jika duit di tangan ada banyak itu sahaja secara automatik anda akan membeli cukup-cukup duit itu sahaja.

Kelima, pergi satu bazar sahaja. Sebulan puasa jangan pergi semua bazar yang ada di tempat anda. Sekiranya sudah selalu pergi ke satu bazar itu sahaja anda sudah biasa dengan juadah yang dijual dan keinginan untuk membeli itu akan berkurang.

Keenam, pergi membeli pada hujung-hujung waktu berbuka. Kebiasaannya pada hujung-hujung waktu berbuka ramai orang sudah tiada di bazar, jadi peniaga selalunya akan menjual jualan mereka pada harga yang murah untuk menghabiskan jualan. -utaranews