Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang ingin Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut dibuka bagi semua kaum khususnya k...

Tuntutan HINDRAF keatas UITM terus dibantah


Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang ingin Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut dibuka bagi semua kaum khususnya kaum India daripada golongan B75 terus dibantah.

Presiden Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas), Amir Hakimin Che Razali berkata, penubuhan UiTM merupakan berdasarkan Akta 173 mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Tujuan penubuhan ini untuk membantu bumiputera yang miskin dan tidak berkemampuan melanjutkan pendidikan tinggi.

"Ini disebabkan ramai orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam ekonomi,” katanya.

Jadi, kata beliau, semua pihak harus faham, UiTM diwujudkan agar anak Melayu dan Bumiputera boleh menjejak ke Universiti dan memperbaiki serta meningkatkan hidup mereka.

Amir Hakimin berkata, UiTM diwujudkan bagi merapatkan jurang ekonomi bumiputera supaya boleh bersaing dengan bangsa lain di negara ini.

"UiTM dibentuk untuk membantu mobiliti sosial tanpa mengira latar belakang.

"Mereka yang ada di kampung paling tersorok hari ini pun berpeluang masuk ke UiTM, malah menerusi program khas turun padang dari kampung ke kampung adalah bertujuan mengubah destinasi anak bangsa," ujarnya.

Baru-baru ini, Hindraf menyerahkan memorandum mengandungi 25 tuntutan antaranya termasuk pengambilan 15 peratus pelajar kaum India ke universiti awam termasuk UiTM.

Tambah Presiden Pertunas itu, penubuhan UiTM merupakan tanggungjawab yang sudah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam semangat menjunjung satu daripada tujuh titah wasiat Raja-Raja Melayu.

“UiTM berjaya melatih tenaga mahir, tenaga profesional bumiputera sekali gus turut memenuhi strategi serampang dua mata Dasar Ekonomi Baru.

"Tujuannya untuk membasmi kemiskinan, dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum.

Justeru, Amir Hakimin mahu kerajaan baharu Pakatan Harapan terus mempertahankan UiTM dan mobilisasi sosial yang lain. - Utaranews.com