Ramadan merupakan bulan suci bagi umat Islam di seluruh dunia. Bagaimanapun, sejak kewujudan laman sosial seperti sudah menjadi satu kewa...

Umat Islam harus jauhi fitnah siber di bulan Ramadan


Ramadan merupakan bulan suci bagi umat Islam di seluruh dunia. Bagaimanapun, sejak kewujudan laman sosial seperti sudah menjadi satu kewajiban yang digunakan oleh umat Islam.

Laman sosial telah menjadi satu cabaran yang dihadapi umat Islam yang berpuasa dari menyebarkan fitnah. Jika dahulu, umat Islam hanya perlu menahan lapar dan dahaga, atau sesekali mengumpat, tetapi situasi itu telah berbeza sama sekali.

Sehubungan itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menasihati umat Islam untuk menghentikan tabiat mendedahkan aib seseorang, menulis perkara negatif dan fitnah di laman sosial terutamanya di bulan Ramadan.

Beliau berkata, perkara-perkara negatif ini wajar dibuang terutamanya di bulan Ramadan yang mulia ini dan sepatutnya umat Islam berlumba-lumba melakukan kebaikan serta mengelakkan diri melakukan dosa.

"Sebagai umat Islam kita perlulah hormati bulan Ramadan ini. Kita sepatutnya menulis sesuatu yang elok daripada menulis sesuatu yang mendedahkan aib seseorang di media sosial seperti di laman Facebook, Twitter mahupun WhatsApp.

"Perbuatan itu sudah pasti membuatkan individu lain terjejas angkara kita. Jika tiada sebarang aktiviti, lebih elok andainya kita berdiam diri daripada menulis satu ayat yang bertujuan mengaibkan serta menjatuhkan maruah individu lain. Ini seolah-olah trend zaman sekarang," katanya.

Shukri berkata, perbuatan mendedahkan aib seseorang adalah haram dalam Islam seumpama mendedahkan aurat sendiri dan sepatutnya umat Islam mengambil peluang ini untuk melakukan perkara yang lebih bermanfaat.

"Mendedahkan aurat atau aib seseorang seumpama kita mendedahkan aurat kita sendiri di khalayak ramai yang mana ia haram dalam Islam. Adalah lebih baik jika kita ambil peluang dalam bulan yang mulia ini untuk membuat sesuatu yang memberi manfaat seperti membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah," katanya. - utaranews.com