Jika semua pihak dalam UMNO bersatu padu dan bersepakat, tidak ada yang mustahil malah parti berkenaan akan bangkit untuk terus memperjuan...

UMNO harus jadi organisasi tersusun dan ada kesungguhan berkhidmat kepada bangsa


Jika semua pihak dalam UMNO bersatu padu dan bersepakat, tidak ada yang mustahil malah parti berkenaan akan bangkit untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat bersama.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, semua ahli parti terutamanya kepimpinan UMNO harus terus bersatu demi mempertahankan parti yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini.

Kata beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, UMNO perlu terus mara ke hadapan dan terus mantapkan perjuangan.

"Kita perlu ada kesedaran bahawa rakyat memerlukan komitmen yang tinggi dari kita untuk mereka sama-sama bangun dan mempercayai kita kembali,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tambah Bung Moktar, parti itu harus berubah baik dari segi cara berfikir, cara mengurus parti serta cara berkomunikasi sekiranya ingin UMNO kembali diterima rakyat secara keseluruhannya.

Beliau berkata, jika parti itu mampu membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO adalah yang terbaik, bukan mustahil Barisan Nasional (BN) dan UMNO akan dapat kembali mandat rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sekiranya dalam tempoh lima tahun akan datang ini kepimpinan parti mampu membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO adalah yang terbaik, maka sudah pasti rakyat akan kembali memberi mandat kepada BN dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti," katanya.

Oleh itu, MT UMNO itu berkata, apa yang perlu diubah maka harus diubah demi kebaikan parti mahupun rakyat.

“Sekiranya kita berjaya mengurus parti dan rakyat dengan baik, yakin dan percayalah UMNO dan BN akan kembali memerintah di bumi bertuah ini,” ujar beliau.

UMNO dan BN telah membuktikan kemampuan membangunkan negara selama 60 tahun lebih memerintah. Parti ini banyak berjasa kepada rakyat dan negara ini -Utaranews.com