Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu perlu dijadikan iktibar untuk parti berkenaan menilai se...

UMNO harus ubah pendekatan terhadap rakyat jika mahu tebus kekalahan PRU14


Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu perlu dijadikan iktibar untuk parti berkenaan menilai segala kelemahannya dan harus bermuhasabah.

Ini merupakan waktu terbaik untuk UMNO menilai semula kelemahan parti, memperbaiki dan merancang strategi bagi mendapat kembali kepercayaan rakyat.

Naib Presiden Kanan Veteran UMNO, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata UMNO diyakini masih mempunyai peluang bangkit dan membina kembali masa hadapan, sekiranya semua pihak dalam parti itu bermuhasabah diri.

Kata beliau, keputusan pilihan raya umum pada 9 Mei lepas yang menunjukkan rakyat ingin perubahan,harus diterima dengan hati terbuka.

Mohd Rozali berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 merupakan satu sejarah kepada UMNO dan BN kerana inilah kali pertama parti itu tewas pada peringkat nasional.

"Oleh itu, UMNO hendaklah bermuhasabah diri dan mencari jalan memenangi semula hati rakyat supaya menyokong parti pada masa depan.

"Pemimpin parti hendaklah bersatu dan turun ke bawah memberi keyakinan semula kepada seluruh ahli mengenai langkah perlu diambil supaya UMNO mampu bangkit semula," katanya yang juga Pengerusi Veteran UMNO Kelantan dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, parti sudah menubuhkan jawatankuasa tertinggi untuk mengkaji punca kekalahan dalam PRU-14 lalu.

Tambah Pengerusi Veteran UMNO Kelantan itu, ia diharap dapat membantu parti menebus semula kekalahan pada masa akan datang.

Beliau berkata, UMNO masih mempunyai peluang kerana sudah banyak berjasa kepada rakyat, tetapi pemimpin UMNO perlu menonjolkan sikap positif.

"Selain itu, perlu mengelak sebarang rasuah seperti yang ditohmahkan sebelum PRU-14," ujar beliau. -Utaranews.com