Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin mendakwa terdapat gerakan sulit untuk menghalang Ketua Umum Parti Kea...

Ada gerakan sulit untuk halang Anwar jadi Perdana Menteri?


Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin mendakwa terdapat gerakan sulit untuk menghalang Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Berdasarkan satu sumber dalaman, Badrul berkata, beliau percaya ada satu gerakan dinamakan “Third Force” yang bercita tinggi dalam politik yang diselia oleh  Kalimullah dikesan cuba untuk melaga-lagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar agar peralihan kuasa untuk Anwar menjadi Perdana Mentari dalam tempoh dua tahun ini gagal.

Katanya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, kumpulan ini juga sedang merancang untuk melengahkan serta menghalang Anwar dari menjadi Ahli Parlimen.

"Kumpulan ini dengan dana yang besar telah mengumpulkan 'cybertrooper' berbayar mereka yang terdiri dari muka baru dan lama. Sasaran mereka menghancurkan imej Anwar Ibrahim dengan menggambarkan Anwar lemah dan tamak.

"Malah kumpulan ini mula menyusun gerakan dalam PKR itu sendiri khususnya dalam pemilihan parti. Setelah diselidiki 'cap jari' Kalimullah dikesan dibanyak tempat.

"Ramai merasakan kurang senang dan meminta Kalimullah Hassan supaya jangan campur tangan secara melampau khususnya dalam pemilihan parti PKR yang akan datang.

"Gerakan “Third Force” ini mula dihidu oleh beberapa kelompok khususnya yang rapat dengan Anwar Ibrahim. Namun tanpa menafikan mereka sangat licik," katanya yang dipetik menerusi blognya.

Chegu Bard berkata, Kalimullah dan “Third Force” nya perlu tahu bahawa janji pilihanraya Pakatan Harapan kepada rakyat adalah Mahathir hanya sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Anwar mengambil alih.

"Ini janji Pilihanraya yang dibuat (Pakatan Harapan) kepada rakyat sama saperti janji Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan lain lain.

"Ramai sebenarnya sokong penuh dengan pendapat Rafizi Ramli bahawa Pakatan Harapan menang bukan atas faktor Mahathir semata-mata.

"Jika faktor Mahathir maka sudah pasti Pribumi (PPBM) menang 50 kerusi Parliamen dan bukan hanya 12 kerusi Parliamen saja.

"Selain itu, semua perlu berhati-hati supaya memastikan Kalimullah dan agen pemodal tua tidak terlibat dalam urusan pemilihan parti PKR yang akan diadakan pada tahun ini," katanya.

Tambah beliau, ramai mahu peralihan kuasa Perdana Menteri dari Mahathir kepada Anwar berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dari mana-mana pihak lain seperti yang ramai cita-citakan ke arah perubahan Malaysia. - Utaranews.com