Selepas Kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan negara kira-kira tiga minggu lal...

Ahli kumpulan liberal G25 mahu JAKIM ditutup serta merta


Selepas Kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih pemerintahan negara kira-kira tiga minggu lalu, banyak perubahan yang berlaku dalam negara.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ada mengumumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan antara agensi yang akan dinilai kembali penubuhannya.

Meskipun begitu, ahli kumpulan liberal G25, Tawfik Tun Dr Ismail menolak rancangan kerajaan untuk menilai kembali peranan agensi berkenaan. Sebaliknya beliau menggesa kerajaan agar JAKIM dibubarkan serta merta.

Kata beliau yang merupakan bekas Anggota Parlimen Sungai Benut, JAKIM merupakan satu badan yang mubazir (redundant) sebagai badan agama.

Beliau turut mempersoalkan sama ada usaha untuk menyelamatkan JAKIM sebenarnya usaha untuk menjaga air muka Perdana Menteri.

“Mahathir tidak mahu mengaku bahawa penubuhan JAKIM adalah salah dan ianya dilakukan hanya semata-mata untuk meletakkan dirinya sebagai lebih Islam daripada PAS," dakwanya.

Tawfik berkata demikian ketika mengulas mengenai pengumuman kerajaan berhubung pelantikan sebuah jawatankuasa demi menentukan nasib JAKIM, samada untuk mengekalkan peranan sekarang atau mengembalikan jabatan berkenaan kepada peranan asalnya.

Selain itu, beliau turut mendakwa JAKIM telah melebihi peranan asalnya dan mungkin perkara ini menjadi sebab kepada tindak tanduk kontroversi jabatan berkenaan dan lain-lain badan agama yang mengikut jejak langkahnya.

Katanya, ada isu-isu merepek seperti isu hot dog dan root beer serta tindakan terhadap kedai buku Border, selain tindakan memalukan Mustafa Akyol

Tawfik dikenali kerana sering mengkritik kewujudan JAKIM sejak beberapa tahun yang lalu. Sebelum ini, beliau juga pernah meminta JAKIM dimansuhkan.

Beliau mendakwa sebelum adanya JAKIM, umat Islam bebas untuk mengamalkan Islam sebagaimana yang mereka mahu dan mereka bebas untuk melakukan apa pun sesuka hati.

Kata ahli kumpulan liberal G25 itu, Malaysia sekarang dilanda Arabisasi, dan masyarakat sedang meninggalkan budaya Nusantara.

Beliau juga berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, JAKIM sebenarnya tidak ada apa-apa tugas atau fungsi tertentu. - Utaranews.com