Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengikut perancangan Pakatan Harapan bakal menggantikan Tun Dr. Ma...

Anwar lepas tugas berat ke bahu Mahathir


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengikut perancangan Pakatan Harapan bakal menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri berkata, beliau terlepas daripada tugas berat untuk memperbetulkan segala yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini.

Katanya yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan, ada ‘hikmah’ beliau tidak dilantik menjadi Perdana Menteri sekarang ketika peralihan kuasa sedang berjalan.

Beliau berkata, tugas melakukan peralihan kerajaan sangat berat untuk dipikul.

Anwar berkata, seluruh sistem negara perlu dibaiki bermula daripada pegawai kerajaan, badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan semua sistem lain perlu diubah.

“Ada hikmahnya juga saya bukan perdana menteri sekarang.

"Ini kerana tugasnya sangat mencabar, terpaksa bertempur hadapi kekuatan lama, rasuah besar, seluruh sistem kena betulkan, pegawai kerajaan, badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu tugas berat, saya terlepas, kerja saya sokong sahaja," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa temu bual dalam segmen Terus Terang yang disiarkan melalui laman media sosial Facebook Invoke Malaysia.

Tambah Ketua Umum PKR itu, jika Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berjaya dalam program peralihan kuasa, ia akan menguntungkan beliau.

"Kalau Dr Mahathir berhasil dalam proses peralihan ini, ia menguntungkan saya juga, tidak merugikan,” kata Anwar.

Sebelum ini, Mahathir tidak menolak kemungkinan kekal menjadi Perdana Menteri sehingga dua tahun akan datang sebelum menyerahkan jawatan berkenaan kepada Anwar. - Utaranews.com