Sekiranya mahu menonjolkan barisan pimpinan baru, berilah ruang kepada golongan muda untuk menyuarakan pendapat, kata Ketua Umum Parti Ke...

Anwar 'pertahankan' Rafizi dari serangan parti Mahathir


Sekiranya mahu menonjolkan barisan pimpinan baru, berilah ruang kepada golongan muda untuk menyuarakan pendapat, kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau khawatir terhadap tindak balas sikap bermusuhan tentang perbezaan pendapat yang tidak sehaluan di dalam Pakatan Harapan.

"Saya bimbang beberapa response seolah dalam sistem kita ini tidak boleh ada sedikit pandangan berbeza. Ini berbalik kepada sistem lama.

"Apa salah anak muda beri sedikit kritikan. Saya pun kena kritikan, soal naik jet lah, soal jalan-jalan, kalau dia tanya kita jawab, tiada masalah terhadap saya," kata Anwar.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai reaksi sikap bermusuhan kepada Rafizi Ramli yang mengatakan kajian Invoke mendapati sebab utama pengundi beralih sokongan daripada Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei lalu adalah kerana isu kos sara hidup dan bukan kerana Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui Pakatan Harapan.

Hasil kajian bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendapat kritikan teruk beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mengulas lanjut, Ketua Umum PKR itu, berkata beliau tidak mempertahankan Naib Presiden PKR itu, tetapi mahu ada ruang bagi berlainan pandangan.

"Ada orang kritik saya kerana rasa saya pertahankan (Rafizi) tapi tidak, ada yang saya setuju ada yang saya tidak setuju.

"Tapi untuk menyekatkan kemaraan anak-anak muda yang kritikal itu penyakit sebenarnya.

"Kalau nak tonjolkan barisan pimpinan baru kita kena beri ruang atau latitude atau space untuk walaupun pada pandangan kita itu, bagi saya, kurang menyenangkan.

"Berilah ruang anak-anak muda bagi pendapat, kita bicara soal era baru, lebih terbuka, media sosial, lebih demokratik, transformasi yang lebih menyakinkan tapi bila pandangan lain sikit dah timbul kegelisahan seolah akan mengegarkan," katanya.

Beliau juga berkata, walaupun Rafizi seorang yang sentiasa terpalit kontroversi tetapi bekas Ahli Parlimen Pandan itu bertungkus lumus untuk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

"Tapi kalau dia, kita rasakan terlalu terlajak, tugas kita untuk nasihat.

"Kalau ada pimpinan yang fikir begitu (perbezaan pendapat) harus diperingatkan semula," ujar beliau. - Utaranews.com