Sebarang usaha cuba mencabar ataupun mengganggu gugat kedudukan Islam tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait dengan sistem perunda...

Apa nasib JAKIM dibawah kerajaan Pakatan?


Sebarang usaha cuba mencabar ataupun mengganggu gugat kedudukan Islam tidak boleh dipandang remeh kerana ia berkait dengan sistem perundangan dan acuan negara, kata Pegawai Pusat Penyelidikan PAS, Syed Ahmad Fadhli.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang dikaji semula, sama ada akan dikekalkan atau diteliti semula cara pelaksanaannya.

"Ura-ura berita berkenaan pemansuhan JAKIM seperti ada asasnya. Sebelum Pilihan Raya Umum, sudah pun timbul suara-suara lantang kelompok Islam Liberal seperti Siti Kasim yang mendesak JAKIM dimansuhkan kononnya atas sebab kewujudannya tidak berperlembagaan.

"Hari ini (semalam), Perdana Menteri mengumumkan kewujudan JAKIM sedang dikaji semula, sama ada akan dikekalkan atau diteliti semula cara pelaksanaannya.

"Katanya lagi, "Islam tidak sepatutnya digambarkan sebagai agama yang zalim dan tidak bertimbang rasa, kerana itu bukan ajaran Islam sebenar."

"Kata Perdana Menteri kedudukan JAKIM sekarang sedang dinilai oleh kumpulan ulamak yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan Harapan," kata Syed Ahmad.

Beliau turut menimbulkan persoalan siapakah barisan ulamak yang dilantik oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengkaji JAKIM.

"Selain itu, apakah maksud Perdana Menteri apabila menyebut Islam tidak sepatutnya digambarkan sebagai agama zalim.?

"Adakah JAKIM pernah menzalimi dan menyekat orang bukan Islam mengamalkan agama mereka?," soalnya.

Beliau menegaskan JAKIM ditubuhkan secara berperlembagaan, ianya menepati Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A) dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

JAKIM merupakan agensi yang menguruskan dana awam pembangunan agama Islam berdasarkan peruntukan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan dan berada bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Terdapat banyak peruntukan berkaitan agama Islam dan hak orang Melayu yang disebut secara jelas dan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Harapnya Kerajaan Pakatan Harapan tidak tersilap langkah dalam mencatur masa depan JAKIM." katanya.

Tambah beliau, wajarlah juga diperingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja juga berperanan penting dalam hal berkaitan agama kerana Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Malaysia, Wilayah Persekutuan dan negeri tidak beraja manakala Sultan adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

"PAS pastinya tidak gentar untuk ke hadapan menjadi benteng pertahanan tatkala institusi Islam diserang dan mahu dilumpuhkan kuasanya," katanya lagi. - Utaranews.com