Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan membatalkan dan membekukan beberapa projek yang sebelum ini telah diluluskan oleh kerajaan ...

Bekukan projek mega, rakyat yang jadi mangsa


Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan membatalkan dan membekukan beberapa projek yang sebelum ini telah diluluskan oleh kerajaan pimpinan Barisan nasional (BN) dilihat akan menjadikan rakyat negara ini sebagai mangsa terutamanya dalam aspek pembangunan luar bandar.

Mengulas lanjut, Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berharap projek yang diluluskan oleh Kementerian Rakyat supaya turut diluluskan oleh kerajaan PH.

Katanya, kerajaan PH perlu lebih terbuka dengan projek yang dilakukan untuk kepentingan rakyat bukannya hanya mementingkan politik semata-mata.

“Mana-mana projek yang telah diluluskan untuk Kementerian rakyat, saya minta agar diteruskan. Jangan kerana bertukar kerajaan, rakyat yang menjadi mangsa, hanya kerana menteri dulu yang luluskan menteri sekarang batalkan. Sedangkan yang kita telah putuskan dan luluskan untuk kepentingan rakyat miskin.

“Rumah PPRT, Jalan luar Bandar, jalan perkampungan orang asli dan sebagainya. Jangan jadikan mereka mangsa hanya kerana perbezaan fahaman dan politik.

“Saya harap semua projek untuk kepentingan rakyat yang dah diluluskan perlu diteruskan kerana saya difahamkan semua projek yang diluluskan tetapi belum dilantik kontraktornya, ataupun belum dilaksanakan walaupun dah lantik kontraktor, telah dibekukan dan ada kemungkinan akan dibatalkan,” katanya.

Menurutnya, sebagai bekas menteri pembangunan luar bandar, beliau bersedia untuk bekerjasama dan memberi pandangan sewajarnya demi kebaikan rakyat.

“Sebelum ini juga ketika BN memerintah, pembangkang terbuka untuk menyatakan pandangan mereka yang mana baik kita terima. Saya harap ketika saya nanti begitu juga,” katanya. - utaranews.com