Ramadan adalah bulan mulia dan ibadah, namun umat Islam menjadikan bulan ini sebagai bulan pembaziran wang ringgit dan juga makanan. Anta...

Bulan Ramadan bukan 'lesen besar' untuk umat Islam membazir


Ramadan adalah bulan mulia dan ibadah, namun umat Islam menjadikan bulan ini sebagai bulan pembaziran wang ringgit dan juga makanan. Antara sebab pembaziran makanan adalah trend berbuka puasa secara makanan hidangan buffet di hotel-hotel mewah.

Selain itu, umat Islam juga sering terlepas pandang melakukan pembaziran dengan berbelanja terlalu tinggi untuk membeli makanan untuk juadah berbuka di bazar Ramadan.

Berpuasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi juga perlu mengawal nafsu makan. Ramai umat Islam yang kalah dengan nafsu berbelanja sehingga mereka membeli pelbagai juadah untuk berbuka.

Pakar kecergasan diri berkata sebenarnya umat Islam tidak boleh kalah dengan nafsu selera. Walaupun berasa lapar kerana seharian berpuasa dan memikirkan untuk makan banyak untuk membalas selepas berbuka puasa.

Pakar Diet berkata sebenarnya perasaan lapar itu hanya rasa dahaga tetapi disalah anggap sebagai masih lapar sedangkan kita hanya perlu minum air yang secukupnya.

Umat Islam juga bukan sahaja diuji dengan selera dan makanan tetapi menjelang penghujung Ramadan, iaitu menyambut Aidilfitri umat Islam digoda dengan berbelanja sehingga melakukan pembaziran.

Sememangnya kita perlu meraikan kejayaan dan kemenangan selepas sebulan berpuasa tetapi tidak bermakna perlu bermewah-mewah dan berbelanja di luar batas kemampuan.

Amalan pembaziran ini amat merugikan diri, malah dianggap sebagai amalan syaitan dan ditegah dalam Islam. Jangan menjadikan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sebagai 'lesen besar' untuk umat Islam membazir.

Diharap umat Islam lebih kuat Iman untuk memerangi pembaziran terutamanya pada bulan mulia ini. - utaranews.com