Cadangan kerajaan Pakatan Harapan yang mahu melantik Peguam Negara bukan Islam dikhuatiri mengundang kemarahan pribumi yang merupakan maj...

Cadangan Peguam Negara bukan Islam dikhuatiri mengundang kemarahan pribumi


Cadangan kerajaan Pakatan Harapan yang mahu melantik Peguam Negara bukan Islam dikhuatiri mengundang kemarahan pribumi yang merupakan majoriti rakyat negara ini, kata Pengerusi Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau merujuk tindakan Kerajaan Pakatan Harapan semalam yang dilaporkan mengemukakan nama Tommy Thomas, Peguam Ketua Komunis Malaya, Ching Peng, sebagai Peguam Negara yang jelas bercanggah dengan janji pakatan itu dalam manifesto dalam pilihan raya umum lalu yang berjanji untuk melantik mereka daripada kalangan Ahli Parlimen.

Beliau berkata, tidak cukup rakyat mendapat kejutan dengan perlantikan Mohamad Sabu menjadi Menteri Pertahanan, iaitu individu yang mengiktiraf perjuangan Komunis sebagai Pejuang Kemerdekaan, kini sekali lagi mereka dikecewakan dengan cadangan Kerajaan Pakatan Harapan yang mencadangkan Tommy sebagai Peguam Negara pula.

“Walaupun baru hampir 22 hari Pakatan Harapan memerintah, pelbagai perkara yang telah dibangkitkan cukup menguris hati orang Melayu dan penganut agama Islam.

“Adakah tidak cukup dengan cadangan menutup Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada Bukan Bumiputera dan membuka Felda kepada bukan Bumiputera?

"Apa yang cuba dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang majoritinya bukan Islam ini?

“Adakah mereka tidak sedar bahawa satu demi satu provokasi yang dilakukan oleh mereka boleh mengundang kemarahan pribumi yang merupakan majoriti rakyat negara ini?”, katanya.

Beliau juga berkata, satu demi satu tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhir-akhir ini jelas memperlihatkan bahawa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sudah tidak lagi dapat menolak permintaan DAP yang semakin melampau dan keterlaluan.

“Apa boleh buat, bila hanya ada 12 kerusi, pasti terpaksa tunduk dengan permintaan DAP yang mempunyai 42 kerusi," kata beliau.

Oleh itu, Lokman Noor menggesa DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu supaya membantah sebarang usaha untuk melantik Peguam bukan beragama Islam sebagai Peguam Negara.

Beliau menegaskan bahawa peguam Negara sepatutnya dipilih dikalangan pengamal perundangan yang berpegang teguh kepada prinsip keadilan, selain seorang yang berpegang teguh dengan pegangan Islam memandangkan agama Islam adalah agama Persekutuan.

"Saya mendesak agar Yang Di Pertuan Agong Raja-Raja Melayu menolak permintaan Kerajaan Baru ini untuk melantik Tommy Thomas, Peguam Ketua Komunis Malaya, Ching Peng, sebagai Peguam Negara,” katanya.

Tambahnya, rakyat juga perlu bangkit untuk menegur kerajaan Pakatan Harapan agar mereka sedar bahawa mereka tidak boleh mentadbir negara ini sesuka hati mereka sahaja. - Utaranews.com