Setelah mengambil alih pentadbiran negara dari kerajaan Barisan Nasional, kerajaan PH di Putrajaya sudah pun membatalkan Projek Keretapi ...

CAP mahu Kerajaan Negeri P.Pinang kaji semula perlaksanaan projek mega


Setelah mengambil alih pentadbiran negara dari kerajaan Barisan Nasional, kerajaan PH di Putrajaya sudah pun membatalkan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Projek MRT3 Lembah Klang. Kerajaan juga sedang mengkaji semula projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Semua pembatalan tersebut dibuat dengan alasan untuk menjimatkan duit negara dan juga berjimat cermat kononnya negara kini sedang mengalami beban kewangan yang teruk akibat hutang.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang agar mengikut langkah kerajaan persekutuan Pakatan Harapan dan mengkaji semula projek mega di negeri berkenaan.

Ini termasuklah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai berbilion ringgit dan memilih alternatif lain yang lebih murah, kata Presiden CAP SM Mohamed Idris.

Disebabkan dana kerajaan negeri dan persekutuan yang terbatas, Idris mengatakan kerajaan negeri perlu memberi keutamaan kepada projek lain seperti mitigasi dan pencegahan banjir serta pemeliharaan dan pemuliharaan hutan, kawasan tadahan air dan kawasan pesisir pantai.

“Bekas ketua menteri Pulau Pinang yang kini jadi menteri kewangan memainkan peranan penting dalam mengkaji semula projek persekutuan dan berjimat cermat.

“Pulau Pinang perlu jadi negeri model dengan turut mengkaji semula projek dan mengurangkan kos, dan bukannya menentang tren nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CAP juga meluahkan kebimbangan tentang Ketua Menteri baru Chow Kon Yeow yang nampaknya masih mahu meneruskan projek mega yang diperkenalkan pentadbiran lepas itu; Transit Aliran Ringan (LRT); tiga pulau buatan manusia seluas 1,800 hektar menerusi Projek Tebus Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR); lebuhraya dan projek pembangunan dan tebus tanah di Persiaran Gurney yang sedang berlaku.

“Selain itu, ada juga rancangan untuk kereta kabel ke Bukit Pulau Pinang dengan terminal di Taman Botani,” katanya projek itu bukan sebahagian daripada PTMP.

Chow selepas dilantik jadi ketua menteri mengatakan keutamaan kerajaan negeri penggal ini adalah untuk merealisasikan PTMP bagi menyelesaikan masalah kesesakan negeri itu.

CAP juga mahukan kerajaan lebih telus dalam PTMP yang diumumkan akan dibiayai oleh sektor swasta. Bagaimanapun, kerajaan negeri juga didapati memberikan tanah dan hak tanah, termasuk tanah tebus guna kepada pemaju swasta.

“Jika ada projek pengangkutan tidak dapat menampung kos syarikat, adakah kerajaan akan selamatkan mereka (syarikat) itu?

“Maklumat kepada orang awam mengenai komponen PTMP tidak mencukupi,” katanya.