Dakwaan hutang negara tinggi sebagai penyebab kerajaan Pakatan Harapan tidak dapat tunaikan semua janji 100 hari dalam manifesto mereka...

Dakwaan hutang negara tinggi hanyalah alasan PH untuk cabul janji manifesto


Dakwaan hutang negara tinggi sebagai penyebab kerajaan Pakatan Harapan tidak dapat tunaikan semua janji 100 hari dalam manifesto mereka sebenarnya hanyalah alasan semata-mata, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, janji-janji terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas mereka mengambil alih pemerintahan negara sememangnya sudah dijangka tidak mampu ditunaikan kerana semua janji berkenaan sukar dilaksanakan.

Kata pemimpin BN itu, bila Pakatan Harapan kata mereka mahu memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kita tahu bahawa itu semua tidak boleh dilaksanakan kerana kurangnya mereka dapat mengutip sumber.

“Contohnya penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan tanpa ada ganti, kini mereka (kerajaan) ada masalah (sumber pendapatan),” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, BN yang kini sebagai pembangkang akan mainkan peranan 'check and balance' serta akan menjadi pembangkang yang berwibawa.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata,  operasi UMNO masih berjalan dengan baik di semua peringkat cawangan dan bahagian.

Selain itu, Pengerusi UMNO Johor juga menafikan berlaku pemimpin dan anggota UMNO keluar parti beramai-ramai, tetapi mengakui ada ahli mengambil tindakan meninggalkan UMNO semata-mata kerana mengikut parti yang membentuk kerajaan.

Beliau berkata, UMNO Johor ketika ini sedang menjalankan pemulihan ahli parti itu.

Mengulas desakan veteran UMNO supaya semua pengerusi UMNO negeri melepaskan jawatan,  Mohamed Khaled berkata desakan berkenaan tidak munasabah.

Tambahnya, sekiranya semua pemimpin UMNO melepaskan jawatan maka parti berkenaan tidak akan dapat bergerak. - Utaranews.com