Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung hutang negara yang didakwa Pakatan Harapan mencecah RM1 trilion hanya bermotifkan polit...

Guan Eng jangan main politik dengan status kewangan negara


Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung hutang negara yang didakwa Pakatan Harapan mencecah RM1 trilion hanya bermotifkan politik dengan menyebut pelbagai angka yang tidak tepat, kata mantan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata Setiausaha Agung DAP itu hanya bertindak mengelirukan rakyat tanpa memberikan penjelasan secara terperinci berkaitan hutang tersebut.

Beliau berkata, Menteri Kewangan itu mengkritik pasaran kewangan dengan mendakwa hutang negara mencecah RM1 trilion tanpa memberikan sebarang butiran.

“Namun, selepas pelbagai pihak termasuk saya sendiri mempersoalkan, beliau menjelaskan hutang rasmi kerajaan kekal pada RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita,” kata Najib melalui di laman media sosial Facebook beliau.

Najib berkata, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga terus menegaskan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Singapura-Kuala Lumpur (HSR) yang dibatalkan kini bernilai RM110 bilion meskipun Singapura dan Malaysia sebelum ini menganggarkan ia akan menelan kos maksimum RM72 bilion termasuk kos pengambilan tanah.

“Beliau (Guan Eng) mendakwa, angka inflasinya RM110 bilion termasuk kos faedah.

"Bagaimana angka ini dipetik kerana ia tidak jelas sebagai tender antarabangsa yang memerlukan mereka yang mengambil bahagian untuk mencadangkan pakej pembiayaan mereka hanya ditutup pada Disember 2018," soal bekas Presiden UMNO itu

Tambah beliau, Guan Eng tidak mempedulikan permintaan banyak pihak bagi mendedahkan kajian perlaksanaan dan ekonomi untuk projek berkenaan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

“Bagi kepentingan ketelusan, laporan ini harus didedahkan kepada orang ramai untuk menentukan sama ada kepentingan terbaik Malaysia disampaikan dengan membatalkan projek tersebut," katanya. - Utaranews.com