Kementerian Kewangan menetapkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sifar mulai 1 Jun ini. Pelaksanaan GST pada kadar sifa...

Hapus GST bukan satu langkah ekonomi yang bijak kepada negara


Kementerian Kewangan menetapkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sifar mulai 1 Jun ini. Pelaksanaan GST pada kadar sifar berkuat kuasa mulai 1 Jun 2018 dan terpakai kepada seluruh negara sehingga notis selanjutnya.

Bagaimanapun, satu pendapat dalam akhbar Singapura, The Straits Times berkata tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan GST itu bukan satu langkah bijak sebaliknya akan memberi kesan buruk kepada fiskal dan masa depan ekonomi Malaysia.

Editor bersekutu Straits Times, Vikram Khanna memaklumkan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH itu terdorong disebabkan oleh politik populis tetapi ia bukan langkah ekonomi yang bijak.

Jelasnya, langkah itu juga sekali gus akan menghadkan kerajaan untuk melaksanakan agenda yang lebih progresi dan inklusif. GST adalah satu bentuk cukai pengambilan paling komprehensif, telus dan cekap pernah dilaksanakan Malaysia.

Katanya, dengan melaksanakan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST), Malaysia kemungkinan besar akan mengalami defisit RM25 bilion sehingga RM30 bilion setiap tahun dari segi kutipan.

“Setakat ini, kerajaan Malaysia masih belum wujudkan sebarang langkah alternatif untuk menggantikan hasil yang akan hilang akibat pemansuhan GST.

“Ini akan membawa kesan negatif kepada kedudukan fiskal Malaysia dan juga hutang negara, yang mana menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng, sudah melebihi RM1 trilion, atau 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Agensi penarafan kredit, Moody’s dan Fitch sudah memberi amaran, pemansuhan GST akan membawa ‘kredit negatif’ kepada Malaysia,” ujarnya.

Malah, katanya tindakan itu memberi pelbagai kesan buruk kepada ekonomi Malaysia antaranya merendahkan aktiviti ekonomi, mewujudkan “kehilangan pekerjaan yang tidak wajar” dan memberi kesan kepada projek-projek lepas yang sepatutnya dibiayai oleh hasil lebih tinggi yang dijana GST, dan yang mana Malaysia tidak lagi akan mampu.

Dalam pada itu, inisiatif yang boleh dilakukan kerajaan untuk menyelesaikan pemansuhan GST terbabit mungkin terpaksa menaikkan tambang transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT).

“Walaupun harga minyak hari ini yang agak tinggi, iaitu hampir AS$80 setong, akan memberikan Malaysia sedikit keselesaan fiskal dalam jangka masa pendek, hasil berasaskan minyak, seperti yang dilihat sejak 10 tahun lepas, mudah berubah dan tidak tentu. Malaysia tidak boleh bergantung kepada hasil minyak untuk jangka masa panjang.

“Selepas GST dimansuhkan, kerajaan akhirnya akan terpaksa mewujudkan cukai baru, sama ada pada pendapatan atau perolehan modal, atau mengenakan caj lebih tinggi pada pengguna,” tambahnya.

Khanna berkata, memansuhkan GST memang mudah tetapi kini kerajaan terpaksa berdepan dengan tugas untuk menguruskan kewangan Malaysia tanpa GST.

“Memansuhkannya mudah. Tetapi kini cabarannya adalah, kerajaan baru mempunyai tugas yang tidak menyenangkan untuk menguruskan kewangan Malaysia tanpa GST, dan tanpa langkah hasil alternatif yang sepadan,” katanya. - utaranews.com