Bermula 1 Jun lalu, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus sudah pun dimansuhkan dan perkara ini sepatutnya memberi kes...

Harga daging dan tayar kereta meningkat menjelang Aidilfitri


Bermula 1 Jun lalu, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus sudah pun dimansuhkan dan perkara ini sepatutnya memberi kesan akan penurunan harga barangan keperluan harian.

Tetapi, menerusi tinjauan di pasar harga daging lembu dan kambing segar tetap meningkat sejak bermulanya ibadah puasa Ramadan berbanding hari biasa.

Fenomena ini dilihat berlaku hampir setiap tahun dan seperti tiada penyelesaian dan kebanyakkan pengguna akan merungut apabila terpaksa menghadapi kenaikan harga barang sehingga ada yang melebihi 40 peratus berbanding harga sebelum ini.

Terdapat peniaga yang menaikkan harga daging lembu tempatan antara RM36 sekilogram berbanding RM35 sekilogram sebelum ini. Manakala, harga daging kambing naik RM28 sekilogram berbanding RM26.90sekilogram. Sementara itu, harga ikan kembung pula naik 10 sen daripada RM15.90 kepada RM16.

Segelintir peniaga akan memberi alasan terpaksa menaikkan harga kerana pembekal telah menaikkan harga daging, permintaan tinggi pelanggan dan bekalan harga lembu hidup mahal.

Dalam pada itu, barangan lain yang turut menunjukkan peningkatan adalah tayar kereta jenis Dunlop yang dijual pada harga RM185 berbanding RM175 sebelum ini.

Kedua-dua barangan ini didapati naik harga kerana antara barang yang mendapat permintaan tinggi setiap kali menjelang musim perayaan.

Sementara itu, pengguna dinasihatkan untuk menjadi pengguna bijak dan membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui tentang kenaikan harga barang yang mendadak.

Pengguna juga disarankan untuk membuat perbandingan harga dan membuat persediaan awal untuk mengelakkan membeli barang pada saat akhir menjelang hari raya Aidilfitri yang dijangka akan berlaku kenaikan harga barangan mentah secara mendadak. - utaranews.com