Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendakwa Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) sengaja mahu mencabar kedudukan istimewa oran...

Hindraf didakwa sengaja mahu cabar kedudukan istimewa orang melayu


Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendakwa Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) sengaja mahu mencabar kedudukan istimewa orang Melayu yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Presiden MTRK, Azmi Ali berkata, kerajaan baharu jangan melayan tuntutan yang dibuat Hindraf yang mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut dibuka kepada semua kaum.

Kata beliau, tuntutan Hindraf itu jelas mencabar kedudukan istimewa orang Melayu.

"Jangan layan tuntutan Hindraf kerana implikasi sangat buruk seandainya UiTM dibuka kepada kaum lain.

"Tidak kiralah sejauh mana negara ini merdeka asas perlembagaan harus dipegang," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tidak menjadi kesalahan kepada semua pihak untuk membuat tuntutan, tetapi ia mesti berdasarkan perlembagaan yang ditetapkan.

Tambah Azmi, semua pihak harus berbalik kepada asas penubuhan Malaysia tolak ansur orang Melayu yang mengorbankan tanah mereka bagi sama-sama didiami dengan kaum lain.

"Hindraf boleh tuntut tetapi mesti berpaksikan kepada perlembagaan negara.

"Ini kerana sebelum pembentukan Malaysia, negara ini adalah Tanah Melayu dan orang Melayu mengizinkan kaum lain tinggal di tanah ini dengan syarat hak keistimewaan mereka, kedaulatan Islam, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak," ujar beliau.

Baru-baru ini, Hindraf menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan termasuk pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum India ke universiti awam termasuk UiTM.

Tuntutan Hindraf itu mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) yang mahu agar pusat pengajian tersebut diletakkan di bawah satu inisitif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu.

Mereka berpendapat, langkah tersebut perlu dibuat untuk memperkasa hak dan keistimewaan orang Melayu di negara ini supaya tidak diganggu dan digugat oleh mana-mana pihak. - Utaranews.com