Kerajaan Pakatan Harapan baru sahaja mengambil alih pemerintahan negara selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu, tetapi pemimpin-p...

Kenyataan konfrontasi Mahathir terhadap Singapura membimbangkan


Kerajaan Pakatan Harapan baru sahaja mengambil alih pemerintahan negara selepas memenangi pilihan raya umum 9 Mei lalu, tetapi pemimpin-pemimpin pakatan itu telah tampil dengan pelbagai kenyataan yang menimbulkan kebimbangan dan boleh memberi kesan kepada negara.

UMNO melahirkan kebimbangan reaksi Singapura selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa rakyat Singapura boleh menjadikan tindakan rakyat Malaysia menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sebagai inspirasi.

Unit Komunikasi Strategik UMNO berkata, ditambah pula dengan pengumuman Perdana Menteri yang tekad membatalkan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), tanpa memaklumkan kepada Singapura terlebih dahulu.

"Kenyataan konfrontasi terhadap Singapura dan kekurangan rasa hormat secara tidak sengaja membatalkan HSR menerusi sidang akhbar tanpa memaklumkan Kerajaan Singapura terlebih dahulu hanya akan membawa kepada dasar yang tidak baik oleh Singapura serta memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sana atau membuat dasar perdagangan yang merugikan kita,” katanya.

Baru-baru ini, dalam satu temu bual bersama Financial Times, Mahathir berkata rakyat Singapura "seperti orang di Malaysia, mesti telah bosan dengan kerajaan yang sama, parti yang sama sejak kemerdekaan."

Dalam pada itu, Unit Komunikasi Strategik UMNO turut menyatakan kebimbangan terhadap tiga kenyataan lain yang dikeluarkan oleh Mahathir dan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan.

Unit Komunikasi Strategik UMNO itu berkata, meskipun Mahathir mengatakan tidak perlu bimbang jika penarafan kredit negara ini diturunkan, ini boleh menyebabkan aliran keluar pelaburan asing, sekaligus membawa kepada kadar faedah yang lebih tinggi dan tambahan RM10 bilion setahun kepada hutang negara.

Tambahnya, kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa hutang Malaysia hampir RM1 trilion juga memberi kesan kepada pasaran saham.

Selain itu, kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang mengatakan pertumbuhan 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak penting berbanding dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan kos sara hidup yang lebih rendah juga dibimbangi.

"Tanpa pertumbuhan KDNK yang tinggi, gaji tidak akan meningkat sama dan peluang pekerjaan semakin berkurang," kata Unit Komunikasi Strategik UMNO. - Utaranews.com