Rokok mempunyai banyak jenama dan dijual pada harga yang berbeza. Tetapi, satu hakikat tentang rokok adalah ia memberi banyak masalah kep...

Kerajaan disaran naikkan cukai terhadap Rokok


Rokok mempunyai banyak jenama dan dijual pada harga yang berbeza. Tetapi, satu hakikat tentang rokok adalah ia memberi banyak masalah kepada perokok bukan sahaja kesihatan malah kepada kehidupan sosial.

Pelbagai kempen dan sebagainya telah dilakukan untuk memberi kesedaran tentang bahaya merokok. Namun, semua itu masih dilihat tidak memberi sebarang kesedaran dalam kalangan perokok.

Malah, kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia mendapati prevalen merokok dikalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah sebanyak 23.1% atau seramai 4.7 juta orang dan ini jelas menunjukkan bahawa perokok adalah golongan yang minoriti.

Sehubungan itu, Ketua Unit Kawalan Rokok & Vape I-Medik, Dr Ahmad Farid Nazmi Abdul Halim berkata kerajaan perlu membanteras gejala merokok ini dengan lebih agresif.

Beliau berkata, kerajaan digesa untuk menaikkan cukai terhadap rokok seterusnya dapat menjejaskan kemampuan perokok untuk membeli rokok terutamanya dalam kalangan remaja.

"I-Medik menggesa agar cukai rokok sedia ada dinaikkan supaya dapat menjejaskan kemampuan untuk membeli rokok terutama sekali dalam kalangan remaja yang mana 30% daripada mereka masih mampu membeli rokok dengan harga sekarang," katanya.

Jelasnya, sempena bulan Ramadan ini juga umat Islam boleh memanfaatkan bulan ini dengan belajar untuk mengurangkan merokok sekaligus berhenti merokok.

"Bersempena dengan Bulan Ramadhan yang mulia, momentum ini perlu dimanfaatkan oleh perokok dalam kalangan muslim untuk belajar mengurangi sekaligus berhenti merokok. Ia sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja namun Bulan Ramadhan kali ini adalah waktu yang tepat mengingatkan setiap muslim diwajibkan untuk menahan nafsu.

"Mereka seharusnya kekal tidak merokok ketika saat berbuka sehinggalah sahur pada keesokan harinya. Apabila sudah menjadi kebiasaan, secara tidak langsung ia akan menjadi mind set seseorang untuk menahan keinginan untuk merokok," tambahnya lagi. - utaranews.com