Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melaksanakan pengurangan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dari enam peratus kepada sifat per...

Kerajaan PH berjanji akan kaji mekanisme pengawalan harga barang


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah melaksanakan pengurangan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) dari enam peratus kepada sifat peratus sebagai langkah mahu menurunkan harga barang sedia ada.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, berkata sebagai memberi manfaat kepada rakyat, kerajaan PH berjanji akan mencari mekanisme sesuai untuk mengawal harga barang di pasaran.

Beliau berkata, mekanisme pengawalan harga barang itu juga perlu selaras dengan perlaksaan sifar GST yang sudah bermula 1 Jun lalu sebelum mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September depan.

“Satu alternatif atau mekanisme akan diperkenalkan agar apa yang kita laksanakan mendapat manfaat kepada rakyat. Itu yang menjadi keutamaan dan kepentingan kita.

“Pengumuman akan dibuat tetapi saya tidak pasti bila tarikh serta butiran mekanisme tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata langkah-langkah penguatkuasaan perlu diperketatkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada kadar sifar mulai 1 Jun ini.

Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim memaklumkan, keputusan kerajaan mahu menurunkan harga barang untuk memberi manfaat kepada rakyat dan pihak berkuasa akan menjalankan tanggungjawab supaya peniaga tidak mengambil kesempatan.

Bagaimanapun katanya, dari segi inflasi, BNM akan membuat semakan semula jika perlu memandangkan bank pusat membuat unjuran kadar inflasi bagi purata antara dua hingga tiga peratus tahun ini.

“Secara dasarnya, tidak ada kesan kepada inflasi tetapi angka yang kami dapat dari suku pertama tahun ini adalah 1.8 peratus dan ia berada dalam unjuran kami.

“Mengenai dasar monetari, kami kebiasaannya turut melihat kepada inflasi dan jika ada perubahan besar, kami akan maklumkan (kepada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari),” katanya. - utaranews.com