Musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah berlalu. Pakatan Harapan pun sudah berjaya membentuk kerajaan dan mengambil alih pemerintaha...

Kerajaan PH jangan beri banyak alasan tunaikan manifesto kepada rakyat


Musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah berlalu. Pakatan Harapan pun sudah berjaya membentuk kerajaan dan mengambil alih pemerintahan negara. Kini apa yang ditunggu-tunggu dan tumpuan rakyat adalah sama ada manifesto pilihan raya umum lalu kerajaan Pakatan Harapan dapat dilaksanakan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Pakatan Harapan sudah menang dan telah diberi mandat, jadi mereka perlu tunaikan janji agar pengundi yang memilih kerajaan baharu tahu sejauh mana ia boleh dilaksanakan.

Kata beliau, Kerajaan Pakatan Harapan yang di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad usah beri banyak alasan seperti negara banyak hutang hingga mereka tidak dapat tunaikan janji.

“Waktu buat janji dulu tentu mereka tahu keadaan ekonomi negara dan sekarang baru terperanjat sampai buat tabung, menitiskan air mata.

"Jangan berlakon kerana masa berkempen sudah tamat dan sekarang masa untuk mentadbir kerajaan.

“Saya harap kerajaan (Pakatan Harapan) tunaikan kerana janji itu yang mempengaruhi banyak orang memilih mereka, jangan beri banyak sangat alasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga berkata, beliau bimbang terhadap sikap sesetengah pihak yang bertindak melampau dan kertelaluan dengan mempersoalkan status dan hak orang Melayu serta Islam ketika ini.

Mohamad berkata, jangan melebihi garis sempadan antara kaum dan agama kerana dikhuatiri perbuatan berkenaan akan menyentuh kesentivitian kelompok tertentu dan timbul perasaan tidak puas hati.

“Rakyat Malaysia berjiwa besar, kita ada garis sempadan yang dihormati selama ini.

"Kita lihat ada kenyataan yang biadab mempersoalkan agama Islam dan hak orang Melayu. Kalau ini diperkotak-katikkan nanti timbul perasaan tidak puas hati," ujarnya.

Tambah beliau, perlu berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka mahupun menerusi laman media sosial. - Utaranews.com